KUANTAN: Seorang pensyarah berusia 39 tahun kerugian RM493,600 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata wanita itu menerima panggilan telefon individu memperkenalkan diri sebagai ejen pelaburan saham daripada WLIS Investment pada 12 September lalu.
Mangsa dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp `C-129 WLIS AW Fans Group’ dan diarah memuat turun satu aplikasi pelaburan untuk membuat pelaburan.
“Sepanjang tempoh itu, mangsa membuat 22 transaksi pemindahan wang kepada lima akaun bank dengan jumlah keseluruhan RM493,600.
“Semalam, mangsa diminta membuat bayaran tambahan berjumlah RM144,676.00 sebagai cukai pengeluaran, namun mangsa tidak berbuat demikian kerana mengesyaki ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, siasatan mendapati sumber kewangan mangsa daripada simpanan sendiri serta pinjaman daripada ahli keluarga dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

