MELBOURNE: Carlos Alcaraz menegaskan dia “lapar” untuk menamatkan kemarau kejuaraan Terbuka Australia dan muncul pemain termuda melengkapkan Grand Slam karier, sasaran utamanya bagi musim 2026.
Pemain nombor satu dunia dari Sepanyol itu dianggap pilihan utama kejuaraan bersama juara bertahan dua kali, Jannik Sinner yang juga seteru utamanya.
Trofi di Melbourne Park kekal satu-satunya gelaran Grand Slam yang belum dimenangi Alcaraz, dengan pencapaian terbaiknya sekadar mara ke suku akhir pada edisi 2024 dan 2025.
Jika berjaya menjulang kejuaraan kali ini, Alcaraz bakal memintas Rafael Nadal sebagai pemain termuda Sepanyol memenangi keempat-empat kejohanan utama, selepas Nadal melakukannya pada usia 24 tahun.
Alcaraz, 22, yang memulakan kempen menentang pemain Australia di ranking ke-79 dunia, Adam Walton mengakui dia tidak sabar untuk memulakan cabaran.
“Saya rasa ini sasaran utama saya tahun ini,” kata Alcaraz, yang hanya menjalani satu aksi pemanas badan menerusi kemenangan ke atas Sinner dalam perlawanan pertunjukan di Korea Selatan.
“Persiapan saya berjalan dengan baik dan saya melalui pramusim yang sangat positif untuk berada pada tahap terbaik,” katanya.
“Saya benar-benar lapar untuk kejuaraan ini dan mahu mencipta keputusan besar di sini. Saya membuat persiapan sehabis baik dan sangat teruja menantikan kejohanan ini bermula.” – AFP

