KOTA TINGGI – Seorang pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Perani, Bandar Sri Perani di sini cedera dilibas dengan belalai gajah yang tiba-tiba menyerangnya pagi tadi.
Menurutnya, ketika kejadian dia baru memulakan tugas seperti biasa sebelum dikejutkan dengan kehadiran gajah dewasa dan bergading berkenaan yang secara tiba-tiba datang dari arah belakang.
“Saya cuba mengelak dan melarikan diri tetapi tidak sempat sebelum terjatuh dan tergolek ke dalam longkang akibat terkena libasan belalai gajah itu.
“Mujur saya tidak dipijak gajah berkenaan, jika tidak mungkin keadaan akan jadi bertambah buruk,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter dari sekolah berkenaan.
Disebabkan kejadian itu, Abdul Rahman mengalami kecederaan pada jari tangan kanan dan kaki kiri selain bengkak di bahagian pinggang.
Dia yang diselamatkan oleh ibu bapa yang sedang menghantar anak-anak ke sekolah sama kemudian menerima rawatan dan jahitan di Hospital Kota Tinggi.
Warga emas tersebut yang sudah 12 tahun bertugas sebagai pengawal keselamatan berkata, gajah berkenaan kemudiannya dilihat memasuki kawasan kebun kelapa sawit di belakang sekolah.
Jelas Abdul Rahman, kehadiran kumpulan gajah dianggarkan antara tujuh hingga 20 ekor semakin kerap memasuki kawasan sekolah sejak kebelakangan ini.
Ujarnya, selain merosakkan pagar sekolah, haiwan berkenaan turut menceroboh kebun kelapa sawit di belakang sekolah serta memusnahkan tanaman penduduk seperti tebu dan pisang.
“Malam kelmarin, kumpulan gajah ini dilaporkan merosakkan tanaman penduduk kira-kira 200 meter dari sekolah. Namun, kejadian pagi tadi adalah serangan pertama melibatkan penduduk setakat ini,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk, Aman Yosof berkata, kumpulan gajah itu biasanya akan berkeliaran sekitar kebun kelapa sawit di belakang sekolah ini selain memakan tanaman seperti pisang dan tebu di belakang rumah penduduk.
“Bagaimanapun, selama ini kumpulan gajah ini tidak pernah menyerang penduduk, paling tidak pun mereka akan merosakkan dan menyepahkan tanaman-tanaman penduduk sahaja.
“Justeru, kami berharap agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor dapat mengambil tindakan segera termasuk menghalau kumpulan gajah itu ke dalam hutan” katanya.- MalaysiaGazette

