NILAI: Motosikal yang digunakan dua suspek untuk melarikan diri selepas merompak sebuah kedai emas dalam pasar raya di Bandar Baru Nilai di sini, malam tadi, berjaya dijumpai pada hari ini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, berkata motosikal jenis Yamaha Y15 berwarna biru itu ditemui tidak jauh dari lokasi kejadian, pagi tadi.
“Untuk makluman perkembangan kes membabitkan kejadian samun kedai emas kira-kira jam 8.30 malam tadi, motosikal yang digunakan suspek telah dijumpai semula.
“Jarak lokasi motosikal itu dijumpai dengan tempat kejadian adalah kira-kira 1 kilometer,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, pasukan dari Bahagian Siasatan Forensik (D10), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, hadir ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) IPK Negeri Sembilan dan detektif dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai turut hadir untuk menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
“Pihak kami masih menyemak nombor pendaftaran pada motosikal itu bagi menentukan sama ada ia palsu atau tidak, serta mengenal pasti pemiliknya,” katanya.
Semalam, media melaporkan dua lelaki yang berpelitup muka melarikan 15 dulang emas dianggarkan bernilai RM60,000 dari sebuah kedai emas dalam pasar raya di Bandar Baru Nilai.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, suspek yang menunggang motosikal dan memakai topi keledar dengan penutup muka, melarikan barang kemas berkenaan dengan memasukkannya ke dalam sebuah beg khidmat penghantaran barang.
Johari dipetik berkata, seorang daripada suspek terbabit juga didapati menggunakan senjata api jenis pistol tetapi tiada tembakan dilepaskan.

