KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) diberikan kebebasan sepenuhnya untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pegawai dan kakitangannya yang didapati melanggar etika dan integriti dalam melaksanakan tugas.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penangkapan 29 pegawai dan kakitangan AKPS kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebelum ini membuktikan kes salah laku di agensi itu sama sekali tidak disembunyikan.
“Ini maksudnya kita tiada kompromi. Lainlah jika berlaku, kita pendam dan tidak hebah untuk jaga nama baik… namun hakikatnya tidak.
“Saya sikit pun tiada rasa curiga terhadap keupayaan dan kepemimpinan AKPS dalam memastikan tidak boleh ada pelanggaran itu.
“Jika ada tindakan, mereka maklum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). SPRM buat intipan, penguatkuasaan, tangkap, jika perlu buat sidang media… silakan dan jika babitkan Jabatan Imigresen dan sebagainya, jalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai tindakan diambil terhadap 29 pegawai dan kakitangan AKPS yang ditahan kerana disyaki terbabit kegiatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, termasuk aktiviti ‘counter setting’ antara Januari hingga September lalu, selain keperluan menambah anggota AKPS di pintu masuk negara.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata AKPS bekerjasama dengan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen dalam memastikan pegawai dan kakitangan sentiasa berintegriti ketika menjalankan tugas.
“Pendekatan diambil adalah tidak ada kompromi langsung. Jika ada keperluan untuk laksana Peraturan Pegawai Awam, Kelakuan dan Tata Tertib 1993, termasuk hukuman buang kerja (perlu diteruskan)
“Jika siasatan dibuat, buka kertas siasatan. Jika perlu berakhir dengan pertuduhan, silakan. Usia AKPS baru setahun tapi sudah meletakkan asas bahawa tiada tolak ansur dalam perlanggaran tata tertib dan integriti,” katanya.
Berhubung penambahan anggota AKPS yang dilaporkan hanya mempunyai kira-kira separuh daripada jumlah diperlukan, Saifuddin memaklumkan pengambilan anggota akan dilakukan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada pintu masuk berisiko tinggi.
“Di peringkat kakitangan, terdapat 6,866 anggota dari pelbagai agensi yang menjaga 22 pintu masuk. Secara idealnya, kita perlu ada 13,721 anggota namun pengambilan anggota perlu dibuat secara berfasa.
“Pada tahun ini, ada pertambahan pintu masuk, iaitu 122 yang aktif daripada 140 pintu masuk. Terbaru, pengambilan 200 bekas tentera diluluskan dan kita akan penuhi pengambilan itu,” katanya.

