Exco FAM dijangka letak jawatan minggu depan

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dijangka meletak jawatan secara beramai-ramai seawal minggu depan dalam tindakan yang disifatkan sebagai satu ‘pengunduran strategik’ bagi menyelamatkan masa depan bola sepak negara.

Sumber terdekat badan induk itu memaklumkan langkah berkenaan adalah percaturan terancang untuk mengelakkan pengambilalihan penuh oleh jawatankuasa normalisasi yang dilantik Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Dengan berundur secara sukarela, kepimpinan sedia ada dilihat mahu memulakan proses ‘pembersihan’ dalaman, sekali gus membuka laluan kepada penubuhan jawatankuasa sementara bagi mengendalikan Kongres Luar Biasa dan pemilihan baharu.

“Matlamatnya adalah untuk menunjukkan kepada FIFA dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bahawa FAM masih berupaya membetulkan keadaan sendiri,” kata sumber itu.

“Jika exco kekal dan penggantungan dikenakan, FAM akan hilang kawalan sepenuhnya. Dengan meletakkan jawatan sekarang, mereka seolah-olah menekan butang ‘set semula’ mengikut acuan sendiri.”

Keputusan itu difahamkan susulan satu mesyuarat yang diadakan dua minggu lalu, apabila 13 ahli jawatankuasa eksekutif menilai risiko pengasingan di peringkat antarabangsa sekiranya tindakan drastik tidak diambil.

Walaupun terdapat tentangan daripada segelintir pihak pada peringkat awal, konsensus akhirnya beralih kepada pengorbanan secara kolektif demi melindungi masa depan liga domestik dan skuad kebangsaan.

Satu sidang media bagi mengumumkan peralihan kepimpinan itu dijangka diadakan pada 28 Januari ini.

Sebelum ini, AFC dilaporkan mencadangkan agar jawatankuasa eksekutif FAM berundur bagi mengelakkan penggantungan, yang sekiranya berlaku akan menyaksikan persatuan itu ditadbir sementara oleh FIFA dan AFC.

Pada November lalu, jawatankuasa rayuan FIFA menolak rayuan FAM serta tujuh pemain naturalisasi – Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — yang didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.

Jawatankuasa tatatertib FIFA sebelum ini mengarahkan FAM membayar denda CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti bola sepak selama 12 bulan.

FIFA turut membatalkan keputusan Malaysia dalam tiga perlawanan persahabatan antarabangsa tahun lalu, dengan kemenangan 3-0 diberikan kepada Cape Verde, Singapura dan Palestin.

Selain itu, FAM juga diarahkan membayar denda tambahan CHF10,000 (sekitar RM51,414).

Tekanan ke atas Harimau Malaya dijangka berterusan apabila AFC berkemungkinan mengenakan potongan mata dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027, sementara FAM menunggu keputusan rayuan mereka di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) berhubung sekatan FIFA terhadap persatuan dan tujuh pemain warisan berkenaan.

Malaysia juga didapati menurunkan pemain tidak layak dalam kemenangan 2-0 ke atas Nepal pada 25 Mac serta kemenangan 4-0 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.