Sindiket proses ubat tradisional Cina haram tumpas, nilai rampasan RM24 juta

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Kesihatan (KKM) menumpaskan satu rangkaian sindiket memproses ubat haram selepas menyerbu 19 premis termasuk kilang di negeri ini, dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM24 juta, hari ini.

Dalam operasi berkenaan, Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pulau Pinang  dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) negeri, menahan lima lelaki berusia antara 34 hingga 60 tahun termasuk dua warga asing yang merupakan pekerja.

Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr. Fazilah Shaik Allaudin berkata, sindiket itu dikesan menghasilkan ubat tradisional Cina yang tidak berdaftar serta melanggar peruntukan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan Akta Racun 1952.

Menurutnya, operasi itu hasil risikan sejak 2023 dengan sindiket terbabit dipercayai aktif sejak 2020 dan diketuai seorang lelaki berusia 34 tahun yang turut ditahan dalam serbuan.

“Hasil serbuan, pihak kami membawa kepada penemuan lebih 88,000 unit ubat tradisional tidak berdaftar selain lebih 500 bungkusan bahan mentah yang disyaki mengandungi racun berjadual.

“Selain itu, lebih 23,000 produk separa siap, dua peranti digital serta 36 mesin turut disita, menjadikan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM24 juta,” katanya kepada pemberita semasa menyertai serbuan di sebuah kilang di Simpang Ampat di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) KKM, Mohd Zawawi Abdullah berkata, pemeriksaan mendapati beberapa produk mengandungi bahan berbahaya yang disenaraikan di bawah Akta Racun 1952.

Katanya, antara kandungan yang dikesan termasuk steroid, penisilin dan allopurinol yang digunakan dalam produk ubatan tradisional Cina berkenaan.

“Antara produk yang dirampas termasuk ubat tahan sakit dan ubat gout. Produk-produk ini dipercayai dipasarkan untuk kegunaan tempatan melalui kedai ubat Cina, selain sebahagiannya dieksport ke luar negara.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Seksyen 13(a) Akta Racun 1952,” katanya.

Orang ramai digalakkan menyalurkan aduan atau maklumat berkaitan penjualan ubat-ubatan atau produk kesihatan yang meragukan melalui portal SisPAA di http://moh.spab.gov.my, menghubungi talian 04-2292319 atau hadir ke mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi berhampiran. – MalaysiaGazette