E-waste: SPRM beku 16 akaun bank bernilai RM10.2 juta

KUALA LUMPUR – Sebanyak 16 akaun bank telah dibekukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan nilai kira-kira RM10.2 juta kemasukan e-waste ke negara ini menerusi Ops Nature.

Menurut sumber, pihaknya turut menyita sejumlah wang tunai bernilai RM87,000, barang kes berharga bernilai kira-kira RM220,000 termasuk kereta dan barang kemas.

“SPRM telah mempergiatkan siasatan terhadap dakwaan rasuah dalam pemprosesan e-waste, pembuangan sisa efluen serta buangan berjadual di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Seorang pengarah syarikat yang disiasat oleh Bahagian Siasatan Ibu Pejabat SPRM, telah mendapat sambungan reman mulai hari ini sehingga 30 Januari depan.

“Sementara itu, SPRM Negeri Sembilan juga telah menahan reman empat individu, termasuk seorang pegawai kanan sebuah jabatan dari 20 Januari sehingga 26 Januari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah sumber, pengarah syarikat dan pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut ditangkap dan direman disyaki melindungi kilang memproses e-waste serta pembuangan barangan berjadual tanpa melalui proses yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009, dan tidak menolak kemungkinan akan ada tangkapan lanjut dilakukan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette