SEMENYIH – Meskipun menerima tentangan, kerajaan kekal dengan keputusan untuk memulakan sistem pendidikan tahun satu bagi yang berumur enam tahun bermula 2027.
Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia tidak sepatutnya ketinggalan tatkala sistem berkenaan telah diguna pakai oleh lebih 100 negara sebelum ini.
Justeru beliau berharap, ibu bapa memberikan kerjasama supaya dapat mengikuti sistem baharu itu kelak.
“Biarlah dua, tiga orang merengek, kata tidak bersedia, anak belum matang, anak masih minum susu… Kenapa kita harus ke belakang? Kita harus maju ke depan.
“Ada setahun lagi nak masuk darjah satu (ada masa lagi), siapkanlah jangan ketinggalan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pelancaran Pembangunan Prasarana Awam Semenyih.
Anwar berkata tidak wajar keputusan itu dipertikai kerana hakikatnya ia merupakan hasrat untuk memartabatkan mutu pendidikan dalam negara.
“Saya harap ibu bapa beri kerjasama beri galak kalau tidak kita bergaduh tumpu mutu pendidikan. Itu cabaran kita terbesar.
“Kalau mahu angkat mertabat negara, mutu pendidikan perlu diangkat,” katanya lagi.
Terdahulu Anwar berkata, pada asalnya beliau mahu sistem berkenaan dimulakan tahun ini namun Kementerian Pendidikan memintanya memberikan tempoh setahun.
“Kita tidak mampu wajibkan tahun ini. Kalau ikut saya saya nak wajibkan (tahun ini) tapi kementerian kata sabar, nanti orang marah.
“Saya mahu perkara ini digerakkan supaya anak kita tidak ketinggalan,” ujarnya.
Selain itu, beliau mahu ahli jawatan kuasa di kampung-kampung perlu memainkan peranan masing-masing dalam menyebarkan kepentingan perubahan sistem tersebut agar ibu bapa membuat persediaan sewajarnya. – MalaysiaGazette

