Pemilik kenderaan lebih 20 tahun terima insentif ganti kereta baharu

PUTRAJAYA -Kira-kira 5,000 pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun bakal menerima Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama untuk membeli kenderaan baharu yang lebih moden, selamat, cekap tenaga dan mesra alam.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, penerima yang layak akan menikmati geran padanan sehingga RM2,000, yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan.

Jelas beliau, geran tersebut bukan sahaja mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu, malah memastikan bantuan Kerajaan memberi impak kewangan yang lebih bermakna dan mampan kepada rakyat.

Katanya, Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama itu diumumkan Perdana Menteri semasa membentangkan Belanjawan 2026, tahun lalu.

Menurut  beliau, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi program tersebut dan ia bermula Januari ini.

“Kita cabar kepada Proton dan Perodua untuk gunakan sepenuhnya peruntukkan ini dalam tempoh enam bulan dan kalau sudah habis peruntukkan, kita akan mengemukakan permohonan peruntukkan tambahan masa hadapan.

“Dalam program ini, penerima yang layak akan meneirma geran padanan sehingga RM2,000, yang turut dipadankan oleh pengeluar kenderaan tempatan bagi mengurangkan kos pembelian kenderaan baharu.

“Pendekatan geran padanan ini bagi memastikan kerajaan dan industri berkongsi tanggungjawab, di mana dana awam dimanfaatkan secara lebih cekap, sementara rakyat menikmati sokongan kewangan yang sebenar dan bermakna,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Peluncuran Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Proton Holdings Bhd (PROTON), Tan Sri Syed Faisal Albar.

Tambah Anthony, program itu adalah salah satu bentuk intervensi keselamatan sekaligus mengurangkan jumlah kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan dan melindungi nyawa pengguna di jalan raya.

Katanya, ia turut disokong menerusi Sistem Pembatalan Pendaftaran Secara Dalam Talian (Sistee-DeREG) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan proses pembatalan dibuat secara digital tanpa perlu hadir ke kaunter.“Kenderaan lama yang terlibat akan dilupuskan menerusi Authorised Automotive Treatment Facility (AATF) iaitu pusat pelupusan berlesen yang memastikan proses pelupusan dilakukan secara sah, profesional serta mematuhi piawaian alam sekitar.

“Langkah ini supaya kita dapat memastikan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram, selain dapat mencegah penyalahgunaan identiti kenderaan serta nombor pendaftaran,” jelasnya.

Selain manfaat kepada rakyat, Anthony berkata inisiatif itu turut menyokong industri automotif tempatan dengan merangsang permintaan domestik, dan aktiviti ekonomi dalam rantaian industri automotif serta sektor kitar semula.

Beliau menjelaskan, penumpuan kepada jenama automotif nasional selari dengan usaha kerajaan memperkukuh industri tempatan dan memastikan dana awam dimanfaatkan secara berkesan.

“Program ini juga mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang menekankan penyelesaian praktikal, bersasar dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.

Sumber Dari :- MalaysiaGazette