KOTA BHARU: Seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh dan dibawa arus deras ketika menemani neneknya mengutip pucuk ulam di tebing Sungai Bagan, di Machang pada Rabu.
Mangsa, Mohd Irfan Abdullah, 13, ditemukan oleh bapa sendiri pada jam 3.30 petang semasa operasi mencari dan menyelamat oleh pasukan bomba yang turut dibantu penduduk kampung.
Jiran mangsa, Nurul Asha Abd Rahman, 39, berkata, dia yang berada di rumah dikejutkan dengan kedatangan ibu Mohd Irfan yang memintanya menghubungi bomba berikutan mangsa dibawa arus sungai berkenaan.
Menurutnya, sebelum itu Mohd Irfan dikatakan bersama nenek dan rakan nenek Mohd Irfan yang kedua-dua berusia kira-kira 60 tahun pergi ke lokasi yang terletak sejauh 50 meter dari rumah mereka untuk mengutip ulaman di bahagian tebing sungai tersebut.
“Mohd Irfan duduk bersama adiknya di tebing sungai hendak pergi ke tempat neneknya tetapi dilarang.
“Dia dikatakan sekali lagi cuba pergi ke arah neneknya sebelum tiba-tiba terjatuh dan dibawa arus sungai manakala rakan neneknya yang sedang memetik ulam juga turut sama hanyut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini pada Rabu.
Kata Nurul Asha, rakan nenek mangsa bagaimanapun sempat diselamatkan oleh seorang pemuda yang sedang memancing ikan di kawasan berhampiran manakala Mohd Irfan terus hilang.
“Bomba yang menjalankan operasi mencari mangsa dan menemukannya di dasar sungai kira-kira 200 meter dari tempat dia mula-mula hanyut.
“Mayat anak sulung dari lima beradik itu dibawa oleh Pasukan Forensik ke Hospital Machang untuk bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Penyelia Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Hasri Hussin berkata, usaha dilakukan dengan teknik pencarian permukaan bersama orang awam.
“Mangsa dijumpai oleh bapanya sendiri yang turut sama dalam misi pencarian ini.
“Kakitangan hospital mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.