GAZA: Hamas menegaskan Lembaga Keamanan baharu yang dibentuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, perlu menekan Israel supaya menghentikan pelanggaran berterusan terhadap gencatan senjata di Gaza.
“Kami menggesa ahli lembaga itu mengambil tindakan serius bagi memaksa pendudukan Israel menghentikan pelanggaran gencatan senjata di Gaza.
“Perang genosid terhadap wilayah itu masih diteruskan tentera Israel sehingga sekarang,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem, kepada AFP menjelang mesyuarat sulung badan berkenaan minggu ini di Washington.
Dalam perkembangan berkaitan, Setiausaha Negara Vatikan, Kardinal Pietro Parolin, memaklumkan Holy See tidak akan menyertai Lembaga Keamanan.
Holy See adalah kerajaan sejagat bagi Gereja Katholik yang beroperasi dari Vatican City,
Lembaga yang dipengerusikan Trump itu pada awalnya dibentuk bagi menyelia gencatan senjata Gaza serta pembinaan semula wilayah itu selepas perang antara Hamas dan Israel.
Bagaimanapun, tujuannya sejak itu berubah bagi menyelesaikan pelbagai konflik antarabangsa, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa presiden AS itu mahu mewujudkan pesaing kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kardinal Pietro Parolin berkata, PBB adalah badan yang menguruskan krisis utama dunia.
“Bagi kami, terdapat… beberapa isu kritikal yang pada kami perlu diselesaikan. Pada peringkat antarabangsa, PBB yang menguruskan situasi krisis ini. Ini adalah satu daripada perkara yang kami tekankan,” katanya.
Sejak Trump melancarkan Lembaga Keamanan pada Forum Ekonomi Dunia di Davos pada Januari, sekurang-kurangnya 19 negara telah menandatangani piagam penubuhannya.
Negara-negara terbabit diminta membayar AS$1 bilion (RM3.9 bilion) bagi keahlian tetap.
Trump turut dikritik kerana menjemput Presiden Russia, Vladimir Putin, yang negaranya bertindak menyerang Ukraine pada 2022. – AFP

