Ubi kayu, pucuk ubi menu utama berbuka Orang Asli Pos Pasik

GUA MUSANG: Ketika umat Islam lain berbuka dengan pelbagai juadah, masyarakat Orang Asli di pedalaman Pos Pasik, di sini, tetap menjadikan ubi kayu sebagai menu utama iftar mereka.

Juadah ringkas sudah cukup membuatkan mereka tetap bersyukur dan bersemangat menjalani ibadat sebagai saudara baharu.

Mohd Sani Nahtiman, 40, berkata, setiap tahun dia bersama penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Pos Pasik tetap bersemangat menjalani ibadat puasa walaupun juadah yang disediakan hanya menu berasaskan ubi kayu.

Menjelang Ramadan, katanya, masyarakat Orang Asli beragama Islam tetap membuat persiapan untuk menyambut bulan suci itu mengikut kemampuan masing-masing.

“Walaupun hanya ubi kayu dan pucuknya jadi makanan utama berbuka, kami bersyukur. Sekiranya ada rezeki lebih, kami dapat tangkap ayam hutan atau ikan di sungai, dapatlah berbuka dengan lauk. Juadah berbuka kami sangat ringkas, tetapi mengenyangkan.

“Beberapa bulan sebelum Ramadan, kami sudah menanam pokok ubi kayu selain menyimpan padi bukit. Persiapan yang dibuat juga ala kadar, bergantung pada kemampuan masing-masing kerana kami juga berdepan masalah serangan gajah liar terhadap tanaman kami,” katanya.

Mohd Sani berkata, masyarakat Orang Asli di pedalaman masih memerlukan banyak bantuan dan sokongan dari segi program yang boleh menambah pengetahuan mereka dalam mendalami Islam.

“Di sini, walaupun tidak ramai beragama Islam, Ramadan tetap dirai dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan kerana ia bulan rahmat. Kami tinggal jauh di pedalaman, kami tahu sudah masuk Ramadan dan kami berpuasa seperti umat Islam lain. Namun kami masih memerlukan bimbingan berkait dengan pengisian pada bulan ini,” katanya.