SEGAMAT: Tidak sampai 24 jam diburu, polis menahan lelaki yang disyaki melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seorang jemaah wanita di sebuah masjid di Bukit Siput, kelmarin.
Suspek berusia lingkungan 20-an ditahan jam 3.15 pagi tadi di sebuah rumah di Pasir Gudang.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Mohd Jumazanzahir Chek Ismail, berkata siasatan mendapati suspek adalah warga tempatan dan pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran.
“Sehari sebelum kejadian, suspek datang ke Segamat bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa. Keesokan hari, sebelum pulang ke Johor Bahru dia melakukan perbuatan tidak senonoh itu.
“Suspek tiada rekod lampau dan saringan air kencing negatif bahan terlarang,” katanya dihubungi.
Suspek direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian jam 11.15 pagi kelmarin, jemaah wanita berusia 40 tahun bertempiaran lari selepas melihat suspek berpakaian separuh bogel, melakukan onani sambil memandangnya.

