Malaysia serah kepada FBI lelaki Bangladesh suspek pornografi kanak-kanak

KUALA LUMPUR: Malaysia menyerahkan seorang warga Bangladesh yang pernah didakwa atas kesalahan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak, kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) kelmarin.

Ia didedahkan Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel dalam platform X yang turut mengesahkan bahawa lelaki berusia 28 tahun itu dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia untuk didakwa di mahkamah Alaska, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

“FBI bersama rakan kerjasama kami menahan lelaki warga Bangladesh yang dikehendaki sejak 2022 atas beberapa pertuduhan termasuk mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa.

“Sehingga malam tadi, dia sudah dipindahkan oleh FBI Anchorage dari Malaysia kembali ke AS di Alaska dan akan berdepan pertuduhan di mahkamah hari ini. Maklumat lanjut akan menyusul,” katanya hari ini.

Kash turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia, khususnya Pejabat Atase Perundangan (Legat) Kuala Lumpur, atas kerjasama membantu siasatan dan penahanan suspek.

“Terima kasih kepada LEGAT (Atase Undang-undang) Kuala Lumpur, Kerajaan Malaysia dan rakan kerjasama tempatan kami di seluruh negara yang membantu dalam siasatan dan penahanan ini. Terima kasih juga kepada FBI Anchorage atas kerja cemerlang dalam kes ini,” katanya.

Pada 2022, suspek yang juga pelajar perubatan sebuah universiti swasta di Kuala Lumpur, dituduh di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menghasilkan dan memiliki bahan pornografi kanak-kanak.

Penjara antara 20 tahun hingga seumur hidup

Suspek berdepan lapan pertuduhan mengarah atau menghasilkan suatu perbuatan pornografi kanak-kanak dalam bentuk gambar dan video menggunakan aplikasi Snapchat mengikut Seksyen 5 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 30 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, menerusi kenyataan akhbar Pejabat Peguam AS Alaska, lelaki berkenaan akan munculv kali pertama di hadapan Hakim Majistret AS, Kyle F Reardon di Mahkamah Alaska hari ini, selepas pernah didakwa oleh Amerika Syarikat pada 2022 kerana mengendalikan rangkaian eksploitasi seksual kanak-kanak antarabangsa.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh berdepan hukuman penjara antara 20 tahun hingga seumur hidup.

Kes ini juga dibawa sebagai sebahagian daripada Project Safe Childhood, satu inisiatif nasional yang dilancarkan pada Mei 2006 oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi membanteras peningkatan kes eksploitasi seksual kanak-kanak.

Dokumen mahkamah pada Julai 2022 mendedahkan suspek didakwa atas pertuduhan berkaitan dakwaan penderaan dan eksploitasi ratusan mangsa bawah umur di Alaska serta di beberapa lokasi lain di AS dan luar negara.

Suspek menggunakan aplikasi media sosial termasuk Instagram dan Snapchat untuk mengenal pasti serta memaksa mangsa bawah umur menghasilkan imej dan video berunsur seksual eksplisit serta perbuatan sadistik.

FBI dan Jabatan Kehakiman AS juga bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia sejak September 2022 apabila dia didakwa oleh Jabatan Peguam Negara Malaysia dengan 13 pertuduhan berkaitan pemilikan dan penghasilan bahan pornografi kanak-kanak.

Suspek pernah belajar perubatan di Malaysia

Sebelum didakwa, suspek tinggal dan mengikuti pengajian perubatan di Malaysia. Dia dipindahkan dari Malaysia ke Alaska oleh FBI pada 4 Mac 2026.

Peguam Negara AS, Pamela Bondi, dalam kenyataan media itu juga menyebut, suspek mendera dan mengeksploitasi ratusan mangsa bawah umur di seluruh dunia.

“Pemindahan seorang warga Bangladesh dari Malaysia adalah satu lagi contoh kejayaan usaha pentadbiran ini dalam memburu penjenayah yang bersembunyi di luar negara,” katanya.

Peguam AS bagi Alaska, Michael J Heyman, pula menyatakan kes membabitkan lelaki itu dianggap sebagai kes eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian paling besar yang pernah disaksikan di AS dan mempunyai impak antarabangsa.