WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bercadang menumpukan kepada satu projek yang tidak dinyatakan untuk Cuba, sebuah negara pulau di Caribbean yang kini menghadapi sekatan tenaga AS, selepas konflik dengan Iran selesai.
Trump berkata AS mahu menamatkan konflik di Iran dahulu sebelum beralih kepada hal berkaitan Cuba, dengan menyifatkan tindakan terhadap Cuba hanya ‘menanti masa yang sesuai’ sahaja.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, di majlis di Rumah Putih, kerana usaha yang dilakukan terhadap Cuba.
“Kami mahu menyelesaikan yang ini terlebih dahulu (Iran), tetapi ini hanyalah soal masa sebelum kamu dan ramai lagi akan kembali kepada Cuba,” kata Trump.
Cuba kini menghadapi sekatan tenaga yang dikenakan AS, menyaksikan stok bahan api merudum selepas penghantaran minyak dari Venezuela, pembekal utama minyak terhenti sejak awal Januari.
Keadaan itu memaksa syarikat penerbangan mengurangkan penerbangan dan mengukuhkan lagi krisis ekonomi berterusan di negara itu.
Rakyat Cuba bimbang negara itu mungkin menjadi sasaran seterusnya dalam campur tangan luar AS, terutama selepas serangan AS dan Israel ke atas Iran yang mengorbankan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Trump dan Rubio tidak menyembunyikan hasrat mereka untuk membawa perubahan rejim di Havana. – AFP

