KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan beberapa lagi berita baik buat rakyat dalam masa terdekat menjelang sambutan Aidilfitri.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah menerusi taklimat Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Terdahulu, beliau menekankan semula berkenaan pengumuman oleh Anwar pagi tadi berhubung beberapa langkah intervensi segera Kerajaan Madani demi meringankan beban rakyat.
Jelasnya, langkah-langkah itu digerakkan dengan hasrat memastikan rakyat dapat membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih tenang dan bermakna.
“Sebagai imbasan, antara pengumuman utama YAB Perdana Menteri pagi tadi termasuklah pengkreditan awal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 bermula esok, penyaluran Bantuan Khas Kewangan 2026 melibatkan penjawat awam, pesara dan veteran, selain Imam, Bilal, Guru Kafa dan sebagainya.
“Pagi tadi juga kita mendengar bahawa peluasan siri Program Jualan Rahmah Madani di seluruh negara akan dilakukan, selain peluasan inisiatif subsidi tiket penerbangan FlySiswa.
“Ini merupakan antara pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pagi tadi, di mana tujuh perkara kesemuanya telah pun diumumkan,” katanya.
Tambahnya, segala bantuan, ikhtiar, serta langkah yang diumumkan itu diharapkan dapat memberi kelegaan kepada rakyat, khususnya dalam menghadapi tekanan kos sara hidup dan membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.
“Kerajaan Madani akan terus berusaha sedaya upaya memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan, selaras dengan tekad untuk membina sebuah negara yang lebih adil, sejahtera dan berperikemanusiaan,” katanya. – MalaysiaGazette

