KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi MARA (UiTM) memperkukuh kebajikan pelajarnya menerusi pelancaran inisiatif Menu Siswa Rahmah dan Tabung ‘Suspended Meal’ bagi membantu mahasiswa berdepan peningkatan kos sara hidup.
Inisiatif yang digerakkan oleh Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM (FKPM) dengan kerjasama Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM (FSR) serta Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM (FSPPP) itu dijangka dilaksanakan sepenuhnya bermula semester hadapan.
Dekan FKPM, Prof Dr Abd Rasid Abd Rahman, berkata inisiatif berkenaan bukan sekadar menyediakan bantuan makanan, sebaliknya dianggap pelaburan terhadap masa depan mahasiswa.
“Penyediaan Menu Siswa Rahmah pada harga RM5 bukan sekadar satu inisiatif kebajikan, malah usaha strategik bagi memastikan pelajar dapat meneruskan pengajian dalam persekitaran yang lebih kondusif.
“Kerjasama rentas fakulti ini mencerminkan nilai sinergi warga UiTM dalam memperkukuhkan ekosistem kampus yang prihatin dan sihat.
“Pendekatan ini membolehkan warga kampus berkongsi rezeki secara langsung dengan menaja makanan kepada pelajar yang memerlukan.
“Ia bukan sahaja memudahkan bantuan disalurkan dengan segera, malah menyemai nilai empati, ihsan dan kebersamaan dalam komuniti universiti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Inisiatif itu dilancarkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM, Prof Dr Mohd Sazili Shahibi, pada 2 Mac lalu.

