Penghantar makanan maut dirempuh kereta ketika buat pusingan U

MELAKA: Seorang penghantar makanan maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta ketika membuat pusingan U di Jalan Tunku Abdul Rahman berhampiran Taman Ikhsan, Batu Berendam, di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Muhammad Zaki Ramat, berkata kemalangan jam 7.05 malam itu membabitkan motosikal ditunggang lelaki tempatan berusia 31 tahun dan kereta dipandu lelaki tempatan berusia 66 tahun.

Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai penunggang e-hailing datang dari arah Peringgit sebelum dipercayai membuat pusingan U di hadapan simpang Taman Ikhsan.

“Kereta dipandu warga emas dipercayai dari arah Taman Sutera Wangi menghala ke Peringgit.

“Namun setiba di lokasi kejadian, pemandu kereta tidak sempat mengelak ketika motosikal tersebut sedang membuat pusingan U,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, akibat pelanggaran itu mangsa terjatuh dan cedera parah di kepala serta badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

“Pemeriksaan di lokasi kemalangan mendapati terdapat papan tanda larangan membuat pusingan U di kawasan tersebut,” katanya.