Marang: “Saya ingatkan kematian biasa, rupanya anak saya meninggal dalam keadaan sangat tragis,” kata Mohd Syafaeez Mat Liki.
Mohd Syafaeez, 35, ialah bapa kepada Hayl Haarith, empat bulan, yang meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.
Menurutnya, dia hanya mengetahui keadaan sebenar anak selepas melihat sendiri keadaan bayi berkenaan.
Dia yang berniaga santan segar di Kampung Kelulut, di sini, berkata, kali terakhir bertemu anak sulungnya pada minggu lalu dan ketika itu bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat.
”Saya tinggal di Marang, manakala isteri yang berasal dari Kuala Berang (Hulu Terengganu) bekerja sebagai jururawat di hospital itu sejak September tahun lalu.
“Bagaimanapun saya selalu membuat panggilan video dan semalam saya ada membuat panggilan video sebelum isteri meninggalkan dia (Hayl) kepada pengasuh kerana isteri bekerja syif malam.
”Bila terima berita pada awal pagi memberitahu anak meninggal, saya memang terkejut kerana ketika panggilan video, dia sihat dan ceria,” katanya.
Mohd Syafaeez berkata, isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang bekerja sebagai jururawat di hospital itu menerima panggilan memaklumkan keadaan bayi sebelum diberitahu anak mereka meninggal dunia.
Katanya, pada awalnya mereka dimaklumkan bayi lemah dan sedang tidur sebelum isterinya menerima panggilan jam 5.40 pagi memaklumkan anak mereka sudah meninggal dunia.
”Saya reda pada awalnya kerana ingatkan kematian biasa, tetapi tidak sangka anak saya meninggal dalam keadaan tragis dengan terdapat banyak kesan luka di badan dan kepala,” katanya.
Katanya, dia sepatutnya ke Pulau Pinang pada pagi ini bagi membeli kelengkapan Aidilfitri untuk isteri dan bayi.
Untuk persediaan menyambut lebaran, dia sudah berbincang dengan isteri dan bersetuju berbelanja di negeri itu.
”Kami sangat teruja untuk membeli kelengkapan Aidilfitri untuk anak dan pagi ini, saya sepatutnya dalam perjalanan ke sana (Pulau Pinang),” katanya.
Mohd Syafaeez berkata, terdapat beberapa kesan luka pada tubuh bayi itu termasuk di bahagian kepala selain kesan seperti hentakan objek tumpul.
”Selain luka pada badan, ada kesan di bahagian kepala seperti tisu terkoyak serta kesan di bahagian mata dan hidung,” katanya.
Sehubungan itu, dia mahu tindakan undang-undang tegas diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
”Saya akan ambil tindakan undang-undang yang paling setimpal terhadap apa yang berlaku kepada anak saya,” katanya.
Sumber : Harian Metro

