KUALA LUMPUR – Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin musnah dalam satu kebakaran yang berlaku di tingkat empat bangunan tersebut, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 malam dan disedari oleh seorang anggota polis yang bertugas di kaunter pertanyaan trafik sebelum segera menghubungi pihak bomba untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tampin tiba di lokasi kejadian pada jam 7.21 malam dan berjaya mengawal api sepenuhnya pada jam 8.10 malam.
“Bilik mesyuarat di bahagian siasatan jenayah narkotik telah musnah 100 peratus.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana ketika kejadian kerana tiada anggota berada di dalam pejabat ketika kejadian berlaku,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Md Azli Johar berkata operasi itu telah melibatkan 14 anggota dari BBP Tampin dan BBP Kota, menggunakan tiga jentera iaitu satu EMRS, satu FRT dan satu LFRT.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran sepanjang 400 kaki serta salur bantu mula pam air dari tangki jentera.
“Bantuan dari BBP Kota turut melaksanakan relay pumping dari pili bomba sejauh 200 kaki ke jentera utama,” dalam satu kenyataan, pagi ini.
Operasi dapat dikawal pada jam 7.46 malam dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.36 malam selepas pasukan memastikan tiada lagi risiko kebakaran.
Setakat ini, siasatan masih diteruskan oleh pihak bomba bagi mengenal pasti punca kejadian.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden tersebut sehingga hasil siasatan diumumkan. – MalaysiaGazette

