TEHRAN – Pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei berikrar untuk membalas kematian yang disebabkan perang dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, menurut satu kenyataan yang dibacakan oleh penyampai di televisyen negara.
“Sebahagian kecil daripada pembalasan setakat ini telah mengambil bentuk yang nyata, namun sehingga ia dicapai sepenuhnya, perkara ini akan kekal sebagai antara keutamaan kami,” kata Mojtaba menurut kenyataan tersebut.
“Kami akan menuntut pampasan daripada musuh, dan jika mereka menolak, kami akan mengambil sebanyak harta mereka yang kami tentukan, dan jika itu tidak dapat dilakukan, kami akan memusnahkan jumlah harta mereka yang sama,” tambahnya.
Kementerian Kesihatan Iran pada 8 Mac memaklumkan lebih 1,200 orang terbunuh manakala lebih 10,000 orang awam cedera akibat serangan oleh AS dan sekutunya, Israel.
Ia merupakan kenyataan pertama beliau sejak diisytiharkan sebagai pemimpin tertinggi baharu republik Islam itu pada Ahad lalu, selepas bapanya yang juga pendahulunya terbunuh dalam serangan AS dan Israel.
Pada 28 Februari, AS dan Israel membunuh pemimpin tertinggi Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan awal yang mencetuskan perang yang kini merebak ke seluruh Timur Tengah.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas Israel serta kepentingan AS di seluruh rantau itu, selain menutup secara berkesan Selat Hormuz yang strategik.
Mojtaba yang berusia 56 tahun dan masih belum membuat kemunculan awam sejak pelantikannya, sebelum ini dilaporkan turut cedera dalam perang yang sedang berlangsung.
Dalam kenyataannya, Mojtaba turut menyeru penutupan pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu, sambil berkata, “dakwaan Amerika untuk mewujudkan keselamatan dan keamanan tidak lebih daripada satu pembohongan”.
Beliau juga menyeru penggunaan “tekanan ke atas Selat Hormuz” — laluan perairan strategik yang dilalui kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia.
Pemimpin baharu itu turut mengucapkan terima kasih kepada sekutu Iran di rantau tersebut termasuk Hezbollah di Lubnan, kumpulan Houthi di Yaman dan kumpulan bersenjata di Iraq.
“Kami menganggap negara-negara dalam Barisan Penentangan sebagai sahabat terbaik kami, dan perjuangan penentangan serta Barisan Penentangan adalah sebahagian yang tidak dapat dipisahkan daripada nilai Revolusi Islam,” katanya.
Selepas kenyataan itu dibacakan, Pengawal Revolusi Iran memaklumkan mereka telah melancarkan serangan ke atas Israel dan pangkalan AS di rantau itu sebagai penghormatan kepada Mojtaba dan keluarganya. – MalaysiaGazette

