Khatam al-Quran 45 minit atas bot

MELAKA: Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menampilkan kelainan apabila menganjurkan majlis khatam al-Quran selama 45 minit di atas bot sambil menyusuri Sungai Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Shaharul Azuar Idris, berkata program itu membabitkan 120 pelajar Tingkatan Dua dan Empat dari Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka yang dibahagikan kepada beberapa kumpulan bagi membaca setiap juzuk al-Quran sepanjang pelayaran itu.

Beliau berkata, pendekatan unik itu bukan sekadar melaksanakan majlis khatam al-Quran, malah sebagai usaha mendekatkan generasi muda dengan kitab suci berkenaan selain memeriahkan sambutan Ramadan yang berbaki hanya beberapa hari lagi.

“Program ini juga adalah penganjuran kali kedua selepas kejayaan kali pertama pada 2013 yang mengambil keberkatan sempena ulang tahun ke-20 penubuhan PPSPM serta meraikan ulang tahun ke-14 penubuhan Sekolah Menengah Imtiaz yang berlokasi di Masjid Tanah.

“Program kerjasama Masjid Fat’hur Rahman Pengkalan Rama dan komuniti ini antara inisiatif PPSPM menggalakkan penghayatan al-Quran dalam kalangan generasi muda. Secara tidak langsung ia turut memanfaatkan keindahan Sungai Melaka sebagai lokasi aktiviti pelancongan dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya pada program itu, petang semalam.

Dalam perkembangan lain, Shaharul Azuar berkata, operasi perkhidmatan bot Melaka River Cruise di Sungai Melaka akan dihentikan pada 1 Syawal bagi memberi peluang kakitangan agensi itu meraikan Aidilfitri bersama keluarga.

“Bagaimanapun, perkhidmatan akan kembali beroperasi seperti biasa pada 2 Syawal. Malah, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga jam 1 pagi kerana dijangka ramai pengunjung menantikan produk pelancongan ini sepanjang musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Imtiaz Melaka, Muhammad Ikhwan Zahari berkata program yang dianjurkan bukan saja memberi pengalaman berbeza kepada pelajar, malah menggalakkan mereka lebih menghayati al-Quran dalam suasana yang unik,” katanya.