KOTA BHARU: UMNO Kelantan sudah mempunyai senarai awal calon Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) sebagai persediaan bagi berdepan kemungkinan berlaku pilihan raya mengejut.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, berkata senarai calon itu merangkumi pelbagai latar belakang termasuk agamawan, muka baru dan lama, golongan muda serta ahli perniagaan.
Pada masa sama katanya, prestasi wakil rakyat sedia ada juga sentiasa dipantau namun setakat ini prestasi kedua-dua mereka iaitu Ali Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas dan Nenggiri adalah cemerlang.
“Walaupun setakat ini kita sudah mempunyai senarai awal calon, senarai berkenaan tidak bersifat kekal dan calon sentiasa dinilai dari semasa ke semasa dan boleh berubah.
“Kedudukan calon di sesuatu kawasan boleh berubah mengikut tahap komitmen dan cara mereka menyantuni rakyat.
“Kita menyediakan senarai calon sebagai persediaan awal sekiranya berlaku pilihan raya mengejut, persediaan dari segi calon kita surah buat,” katanya selepas Majlis Moreh Ramadan Bersama Pengamal Media Kelantan di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut katanya, keputusan muktamad berhubung senarai calon berkenaan ditentukan oleh Presiden parti selepas nama-nama terbabit dikemukakan untuk proses tapisan.
UMNO masih tak dapat tempat di hati rakyat Kelantan – Ahmad Jazlan
Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, UMNO masih belum mendapat tempat di hati rakyat bagi mengambil alih kepimpinan negeri.
Katanya, walaupun UMNO pernah menawarkan pelbagai tawaran termasuk menyediakan manifesto yang terbaik, parti masih tidak diterima rakyat.
Malah katanya, UMNO sudah memberi perkhidmatan yang terbaik pada rakyat negeri ini walaupun mereka adalah pembangkang.
“Namun rakyat masih dilihat tidak menolak kerajaan negeri. Apa yang kerajaan negeri buat walaupun silap, masih diterima oleh rakyat Kelantan.
“Jika dilihat keadaan ekonomi Kelantan sendiri, ia dibantu oleh Kerajaan Pusat dan sektor swasta. Pertumbuhan ekonomi yang dijana oleh kerajaan negeri kita tahu berada pada tahap yang lemah namun rakyat Kelantan menerimanya.
“Terus terang saya katakan hingga hari ini UMNO masih lagi belum mendapat tempat di hati rakyat untuk mengambil alih negeri Kelantan. Situasi saya katakan ini adalah untuk hari ini, mungkin setahun lagi suasana berbeza dan ketika pilihan raya juga berbeza,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, walaupun UMNO mungkin tidak akan mendapat sejumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, namun sekurang-kurangnya rakyat memberi mandat untuk beberapa kerusi kepada parti itu.
“Kita ada kawasan tumpuan namun tidak perlu saya sebut di sini. Kita tahu walaupun kita tak boleh dapat keseluruhan yang besar, tetapi kita tidak mahu tercicir.
“Rakyat juga perlu faham bahawasanya dalam sebuah negeri atau negara, tidak boleh ada kuasa mutlak yang memimpin. Mesti ada semak dan imbang.
“Biarlah kita jadi penyemak dan imbang. Walaupun rakyat belum masa nak beri pada UMNO untuk memimpin, biarlah beri kerusi yang cukup untuk kita tegur kelemahan-kelemahan kerajaan negeri,” katanya.

