KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bersama Mastercard mencipta pencapaian membanggakan apabila merangkul anugerah antarabangsa dalam Transport Ticketing Awards 2026 yang berlangsung di Olympia, London pada 17 Mac lalu.
KTMB dan Mastercard memenangi kategori ‘Best Smart Ticketing Programme – Single Operator or Authority (Fewer than 500,000 Daily Journeys)’ menerusi pelaksanaan sistem tiket pintar bersepadu yang diperkenalkan dalam perkhidmatan rel negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri, berkata pengiktirafan berkenaan menjadi bukti usaha transformasi digital syarikat berada di landasan tepat.
“Pengiktirafan ini bukan sahaja membanggakan KTMB dan rakan strategik kami, malah turut mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Ia membuktikan bahawa inisiatif yang dilaksanakan mampu memenuhi standard global serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam negara,” katanya.
Pengiktirafan itu mencerminkan kejayaan usaha transformasi digital KTMB serta keupayaan Malaysia untuk muncul sebagai antara peneraju serantau dalam pembangunan ekosistem mobiliti pintar yang moden dan inklusif.
Anugerah berkenaan diberikan susulan kejayaan pelaksanaan Ekosistem Rel Mobility-as-a-Service (MaaS) bersepadu pertama di ASEAN hasil kerjasama strategik antara KTMB dan Mastercard.
Inisiatif itu memperkenalkan sistem pembayaran open-loop yang membolehkan penumpang menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuh seperti kad bank dan peranti digital, sekali gus meningkatkan kemudahan serta kelancaran perjalanan.
Selain itu, pelaksanaan sistem berkenaan turut diperkukuh melalui integrasi platform SuperApp yang membolehkan pengguna merancang perjalanan, membeli tiket serta mengakses pelbagai perkhidmatan dalam satu aplikasi.
Azlan turut berkata, KTMB akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan pemain industri dan rakan teknologi bagi memastikan sistem yang dibangunkan kekal relevan serta mampu berkembang seiring perubahan landskap mobiliti.
Kemenangan itu turut menyerlahkan keupayaan KTMB bersaing di peringkat global bersama organisasi pengangkutan dan teknologi terkemuka dunia.
Pada masa sama, pencapaian itu mencerminkan kekuatan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam merealisasikan agenda pendigitalan negara, khususnya dalam sektor pengangkutan awam.
KTMB melihat pengiktirafan ini sebagai pemangkin untuk terus memperluas inovasi, memperkukuh integrasi sistem serta meningkatkan pengalaman pelanggan secara menyeluruh.
Seiring aspirasi menjadi penyedia mobiliti progresif, KTMB komited membangunkan penyelesaian pengangkutan yang lebih pintar, selamat, inklusif dan mampan demi manfaat rakyat serta kemajuan sistem pengangkutan negara.

