Pemandu kereta rempuh Amirul Hafiz sehingga maut dituduh di mahkamah hari ini

KLANG: Lelaki yang direman berhubung insiden memandu dipercayai dalam keadaan mabuk dan di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat di sini, akan dituduh di mahkamah hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey mengesahkan perkara itu dalam satu pesanan ringkas kepada media malam tadi.

Lelaki itu dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Klang pada jam 8.30 pagi untuk menghadapi pertuduhan berkaitan insiden tersebut.

Suspek, yang diuji positif alkohol dan dadah, ditahan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda hingga RM100,000, dan hilang kelayakan memandu sekurang-kurangnya 10 tahun.

Dalam kejadian jam 11.40 pagi Ahad lalu, seorang penunggang motosikal berusia 33 tahun maut di tempat kejadian selepas dirempuh kereta dipandu suspek, yang didakwa dipandu laju di lorong bertentangan ke arah bandar Klang.

Pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan di lorong bertentangan dan melanggar motosikal ditunggang mangsa, Amirul Hafiz Omar.

Perlanggaran itu menyebabkan mangsa melambung dan tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Amirul Hafiz yang bekerja di sebuah gudang pada sebelah siang, dikatakan melakukan kerja tambahan dengan menjadi penghantar barang pada waktu malam.

Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Repoh di Batu Kurau, Perak, dan meninggalkan isteri, Nor Nadia Abdul Majid, 32, serta tiga anak, Muhammad Aqif Amsyar, 9; Muhammad Afif Izz Rayqal, 7; dan Nur Humaira, 2.