JAKARTA: Indonesia dan China semalam bersetuju untuk menggalakkan penggunaan mata wang masing-masing dalam perdagangan dua hala.
Langkah yang diambil itu secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (AS).
Perjanjian itu dimeterai melalui memorandum persefahaman (MoU) antara Bank Indonesia dan Bank Rakyat China (PBC) sempena lawatan rasmi Perdana Menteri China, Li Qiang ke Jakarta.
Kedua-dua bank berkenaan berikrar untuk mewujudkan kerangka kerja yang menggalakkan penggunaan yuan dan rupiah dalam urus niaga rentas sempadan.
MoU itu ditandatangani oleh Gabenor PBC, Pan Gongsheng dan Gabenor Bank Indonesia, Perry Warjiyo, sambil disaksikan oleh Li dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, lapor JakartaGlobe.
Perjanjian baharu itu adalah penambahbaikan kepada perjanjian terdahulu yang dimeterai pada 30 September 2020. Ia memfokuskan kepada penyelesaian akaun semasa dan pelaburan langsung menggunakan mata wang tempatan.
Menurut kenyataan PBC, MoU terbaru itu turut merangkumi semua transaksi di bawah akaun modal dan kewangan, tertakluk kepada undang-undang dan peraturan kedua-dua negara.
Ia juga bertujuan meningkatkan keterhubungan sistem pembayaran serta menggalakkan lagi penggunaan mata wang tempatan dalam perdagangan dan pelaburan dua hala, selain memperkukuhkan hubungan dalam pasaran kewangan dan monetari kedua-dua negara.
Perdagangan dua hala antara negara terbabit terus berkembang dari segi skala dan kualiti sementara projek utama menunjukkan hasil yang memberangsangkan.
Langkah itu turut memperkukuh perjanjian terdahulu yang dimeterai pada Februari lalu, bagi membolehkan pertukaran mata wang tempatan sehingga 400 bilion yuan (AS$55 bilion).
Indonesia turut mempunyai perjanjian serupa dengan negara lain termasuk Australia, Malaysia dan Korea Selatan.
China kekal sebagai rakan dagang terbesar Indonesia dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$135.2 bilion (RM578.7 bilion) pada tahun lalu.
Perjanjian penggunaan mata wang tempatan ini adalah antara 12 perjanjian kerjasama yang ditandatangani selepas mesyuarat dua hala antara Presiden Prabowo dan Li.
Perjanjian itu merangkumi pelbagai sektor sekali gus mencerminkan hubungan yang semakin erat antara kedua-dua negara.
“Kami mengadakan perbincangan yang produktif hari ini dan mencapai banyak perjanjian kerjasama yang diyakini akan memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara,” kata Presiden Prabowo selepas mesyuarat tersebut. – AGENSI

