KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang menjadikan saingan Piala Dunia Trek 2026 di Velodrom Nasional Nilai sebagai sasaran utama yang berkemungkinan menjadi penampilan terakhirnya di hadapan penyokong tempatan.
Menurutnya, kejohanan yang bakal berlangsung di laman sendiri dari 24 hingga 26 April itu cukup istimewa kerana memberi peluang untuk beraksi di depan peminat tanah air.
“Sasaran utama saya sekarang adalah kejohanan di Malaysia. Saya akan berikan yang terbaik.
“Ini kali pertama kita menjadi tuan rumah dan saya tahu ramai peminat mahu melihat saya beraksi buat kali terakhir di tanah air,” katanya.
Azizulhasni yang digelar The Pocket Rocketman percaya sokongan peminat akan lebih luar biasa susulan kejayaannya menjuarai acara keirin pada siri pertama di Perth, Australia, bulan lalu yang kembali menyemarakkan minat terhadap sukan berbasikal trek dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, dia mahu menghadiahkan persembahan terbaik di Nilai walaupun mengakui cabaran kali ini bukan mudah.
Kehadiran pelumba bertaraf dunia termasuk juara Olimpik dari Belanda, Harrie Lavreysen serta pencabar utama dari Trinidad dan Tobago, Nicholas Paul dijangka menghangatkan lagi persaingan, sekali gus menjadi tarikan utama buat peminat yang bakal memenuhi Velodrom Nasional Nilai.
Lavreysen dan Paul tidak beraksi pada pusingan di Perth sebelum ini, menjadikan penampilan mereka di Malaysia sesuatu yang dinanti-nantikan.
Saingan Piala Dunia Trek 2026 yang menghimpunkan 46 negara itu menjadi penutup tirai kejohanan selepas dua pusingan terdahulu berlangsung di Perth dari 6 hingga 8 Mac lalu serta Hong Kong dari 17 hingga 19 April ini.

