TEHRAN: Wakil tetap Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengambil tindakan segera selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, secara terbuka mengakui AS cuba bekalkan senjata kepada pengganas di dalam Iran.
Perbuatannya itu disifatkan sebagai pengakuan jelas menghasut keganasan dan pertumpahan darah, lapor Agensi Berita Mehr (MNA).
AS telah cuba menukar protes aman di Iran menjadi keganasan, kekacauan dan pertumpahan darah, kata Wakil Tetap Iran ke PBB, Amir Saeed Iravani, dalam sepucuk surat kepada setiausaha agung PBB dan Majlis Keselamatan PBB.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap pengakuan Trump bahawa Washington telah menghantar senjata ke Iran.
“Kami menghantar senjata api, banyak senjata api. Ia sepatutnya diberikan kepada rakyat supaya mereka boleh melawan samseng ini,” kata Trump kepada pemberita pada acara Easter di Rumah Putih.
“Anda tahu apa yang berlaku sebaliknya? Pihak yang kami bekalkan senjata itu menyimpannya,” tambah Trump, menurut Press TV.
Presiden AS itu tidak menamakan pihak yang didakwanya mengambil senjata berkenaan. Namun, seorang wartawan Fox News memetik Trump pada Ahad sebagai menyalahkan ‘perantara Kurdish’ kerana mengalihkan senjata itu.
Dalam surat berkenaan, Iravani berkata kenyataan Trump mengesahkan pendirian lama Iran bahawa Washington telah mencetuskan ketidakstabilan.
“Tingkah laku sedemikian selaras dengan dasar lama AS untuk mewujudkan, membiayai dan membekalkan senjata kepada kumpulan pengganas di Asia Barat dan kawasan lain,” menurut surat itu.
“Ini adalah pelanggaran terang-terangan terhadap Piagam PBB serta prinsip dan peraturan asas undang-undang antarabangsa,” katanya.

