KUALA LUMPUR – Seorang pengasuh sarat mengandung sembilan bulan bersama ibunya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan sehingga mengalami kecederaan pada bahagian paha dan kemaluan.
Bagaimanapun, tertuduh, Saranya Arunasalam, 28, dan ibunya, Saroja Ramasamy, 64, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-duanya didakwa secara bersama melakukan perbuatan itu antara Februari hingga 3 April tahun ini di sebuah unit kediaman di Pudu Impian 1, Jalan Pudu Impian, Cheras, ketika berada di bawah jagaan mereka.
Pertuduhan menyatakan kedua-dua tertuduh, sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap mangsa, telah menganiaya kanak-kanak berkenaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal pada bahagian paha dan kemaluan.
Difahamkan, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat oleh bapa mangsa yang juga pengadu dalam kes berkenaan selepas mengesyaki berlaku kecederaan pada anaknya.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ravindejit Kaur yang tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh, namun memohon sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara, jumlah jaminan tinggi dikenakan mengambil kira keseriusan kes.
Bagaimanapun, peguam bela Mohammad Ariffin Abdul Wahab yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan tertuduh pertama sedang sarat mengandung sembilan bulan dan dijangka melahirkan anak dalam tempoh terdekat.
Beliau turut memaklumkan tertuduh kedua merupakan warga emas berusia 64 tahun yang menghidap penyakit darah tinggi dan kolesterol, selain tidak bekerja.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Hakim turut menetapkan syarat tambahan iaitu kedua-dua tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali selain dilarang mengganggu atau mendekati mangsa, keluarga mangsa serta saksi pendakwaan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 18 Mei ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. – MalaysiaGazette

