JASIN – Kewujudan kalimah Allah dalam tulisan Jawi di sebuah tokong di Jalan Jeti Anjung Batu- Pantai Siring di sini malam tadi, menggemparkan penduduk sebelum melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, penemuan kontroversi itu disedari sekumpulan pemancing sebelum beliau bergegas ke lokasi untuk pengesahan.

Menurutnya, pemeriksaannya sekitar pukul 11.30 malam mendapati, tokong binaan batu itu terletak di kawasan hutan paya bakau menghadap pantai dan berada berhampiran tanah berpagar milik individu.
“Pemeriksaan awal mendapati, tokong ini dipercayai telah wujud sejak dua hingga tiga tahun lalu, namun tulisan kalimah ‘Allah’ dan ‘Bismillahirrahmanirrahim’ (dalam tulisan Jawi) hanya dikesan malam ini (tadi).
“Perkara sensitif sebegini boleh mencetuskan kontroversi antara kaum serta agama dan saya telah meminta pihak polis membuat kawalan sementara menunggu tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Rahmad berkata perbincangan segera telah diadakan bersama pelbagai pihak termasuk Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), polis dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Beliau juga telah meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serkam, Datuk Zaidi Attan untuk berhubung dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi tindakan penguatkuasaan sekiranya pembinaan itu didapati tidak mendapat kebenaran.

“Saya mahu tuan tanah sendiri menyaksikan keadaan di kawasan tersebut sebelum sebarang tindakan diambil atau adakah kemungkinan tanah itu melibatkan rizab pantai.
“Jika ia dalam rizab, sebarang pembinaan tidak boleh dibuat tanpa kelulusan pihak berkaitan,” katanya.

Tegas Rahmad lagi, siasatan lanjut akan dijalankan oleh JAIM dan polis bagi mengenal pasti punca kejadian serta pihak yang bertanggungjawab.
“Siasatan mesti dibuat termasuk oleh JAIM dan polis untuk mengetahui bagaimana perkara ini boleh berlaku kerana kita tidak mahu isu sebegini mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette

