KUALA LUMPUR: Undian bagi Piala Asia 2027 akan berlangsung pada 9 Mei depan di Arab Saudi, menurut kenyataan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Rabu.
Majlis undian itu sebelum ini dijadualkan berlangsung pada 11 April lalu di Riyadh namun terpaksa ditangguhkan susulan konflik yang tercetus di Timur Tengah.
Menurut AFC, penjadualan semula dibuat bagi memastikan penyertaan penuh semua pihak berkepentingan serta persatuan ahli yang bertanding dalam kejohanan itu.
Kini, majlis undian akan diadakan di Daerah At-Turaif di ad-Dir’iyah, sebuah tapak Warisan Dunia UNESCO yang bersejarah.
Edisi ke-19 Piala Asia itu dijadual berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari 2027, dengan 23 daripada 24 pasukan sudah mengesahkan tempat masing-masing.
Satu lagi slot terakhir akan ditentukan menerusi perlawanan Kumpulan B antara Lubnan dan Yaman yang dijadualkan semula pada 4 Jun ini.
Tiga bandar utama iaitu Riyadh, Jeddah dan Al Khobar akan menjadi tuan rumah kejohanan berprestij itu.
Sebanyak 24 pasukan akan dibahagikan kepada enam kumpulan, dengan setiap kumpulan terdiri daripada empat pasukan.

