SANDAKAN: Pemandu lori membawa barang sumbangan untuk mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, di sini Ahad lalu, bukan sahaja terkejut, malah sedih dengan insiden kenderaannya diserbu sekumpulan individu yang mengambil barang sepatutnya diberikan kepada mangsa bencana berkenaan.
Jeffry Ayung, 36, berkata kejadian terbabit berlaku pada hari pertama kebakaran apabila dia menghantar sumbangan daripada Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Sungai Manila dan Masjid Sungai Manila untuk mangsa kebakaran.
Insiden itu yang turut dirakam dan tular di media sosial memaparkan beberapa individu memanjat lori ketika kenderaan berkenaan masih bergerak dan mengambil barang sebelum mencampakkan barangan ke bawah.
Ketika dihubungi, Jeffry berkata, berlaku ketegangan luar jangka ketika dia dalam perjalanan ke lokasi pengumpulan barang sumbangan apabila lorinya diserbu individu tidak dikenali.
“Saya difahamkan mereka ini orang luar, bukan penduduk Kampung Bahagia. Saya sendiri terkejut, tak sangka mereka begitu agresif, tapi tiada kerosakan atau kecederaan berlaku, jadi kami biarkan saja sambil memandu perlahan, tapi tiba di pusat pengumpulan, barang sumbangan memang sudah tiada,” katanya.
Dalam kebakaran besar pada Ahad lalu, dianggarkan 9,000 penduduk terjejas apabila kira-kira 1,000 rumah di penempatan atas air itu musnah.
Jeffry berkata, beliau berasa sedia dan bersalah susulan insiden itu kerana sudah diberi amanah untuk menghantar sumbangan daripada masyarakat, namun lain yang berlaku.
Ia pengalaman pertamanya berdepan situasi seperti itu selepas bergiat dalam kerja amal menyediakan pengangkutan percuma untuk menghantar sumbangan kepada mangsa bencana sejak empat tahun lalu.
“Selepas kejadian itu, kami minta bantuan pihak berkuasa atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk iringi kami hantar bantuan. Bantuan yang kami hantar bukan saja ke Kampung Bahagia, malah ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa kebakaran.
“Hari ini hari terakhir kami sediakan khidmat lori percuma, selepas ini kembali buat kerja hakiki,” katanya memaklumkan ada empat lagi rakan turut menyediakan pengangkutan percuma sepanjang tiga hari lalu.
Mereka membawa sumbangan berupa pakaian, air mineral dan makanan kering yang didermakan oleh masyarakat sekitar dan NGO.

