BANGKOK: Pemimpin Myanmar sedang ‘mempertimbangkan perkara baik’ untuk Aung San Suu Kyi yang kini ditahan, kata Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow selepas bertemu ketua negara itu buat kali pertama sejak mengambil alih kuasa sebagai presiden.
Myanmar kini dipimpin oleh Min Aung Hlaing sejak 2021, sebagai ketua angkatan tentera yang menggulingkan kerajaan dipilih Suu Kyi.
Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu ditahan sehingga mencetuskan perang saudara.
Bulan ini, Aung Hlaing mengambil alih sebagai presiden rakyat selepas pilihan raya yang didakwa oleh pemerhati demokrasi sebagai satu acara yang direka untuk memberi wajah baharu kepada pemerintahan junta tentera.
Sihasak berkata beliau sudah membangkitkan isu Suu Kyi ketika bertemu pemimpin Myanmar itu di ibu negara Naypyidaw pada Rabu.
“Presiden berkata Suu Kyi dijaga dengan baik dan kerajaan Myanmar sedang mempertimbangkan perkara baik, tanpa memberikan butiran lanjut.
“Ini sepatutnya satu tanda yang baik,” kata Sihasak dalam mesej video sebelum kembali ke Thailand, semalam.
Aung Hlaing minggu lalu memberi pengampunan kepada pembantu kanan Suu Kyi, Win Myint, yang pernah menjadi pemimpin kanan dalam pentadbiran lalu dan turut ditahan selepas rampasan kuasa.
Sesetengah penganalisis menolak langkah pengampunan itu sebagai sebahagian daripada usaha ‘penjenamaan semula’ pentadbiran baharu Aung Hlaing yang didakwa cuba mendapatkan pengesahan.
Dakwanya, pengumuman pengampunan Win Myint memperbaharui gesaan diplomatik untuk pembebasan Suu Kyi.
Wanita berusia 80 tahun itu kini ditahan selama lima tahun, dengan ahli keluarga rapatnya dilaporkan berkata, mereka hanya dibenarkan berhubung secara terhad.
Diplomat dan media berterusan mempersoalkan statusnya, tetapi pihak berkuasa Myanmar menegaskan penahanan beliau berdasarkan pelbagai sabitan jenayah menjadi urusan mahkamah.
Pengampunan Win Myint, minggu lalu dilakukan pejabat Min Aung Hlaing sebagai sebahagian daripada pengampunan besar-besaran sempena Tahun Baru Myanmar.
Kata sumber kepada AFP, perintah am itu juga mengurangkan sebahagian daripada hukuman penjara 27 tahun Suu Kyi, namun ia tidak jelas berapa banyak pengurangan berlaku.
Kumpulan hak asasi manusia menyatakan, pertuduhan terhadap Suu Kyi direka untuk menyingkirkannya dan membolehkan tentera kembali berkuasa, sekali gus menamatkan eksperimen demokrasi negara itu selama sedekad.
Dua minggu lalu, Aung Hlaing mengangkat sumpah sebagai presiden awam Myanmar, disokong oleh ahli Parlimen dilantik dalam pilihan raya yang menghalang parti Suu Kyi serta menghukum protes atau kritikan dengan penjara sehingga 10 tahun.
Pilihan raya itu tidak dijalankan di banyak kawasan Myanmar yang kini dikuasai pemberontak susulan perang saudara dan banyak kumpulan bersenjata secara terbuka menolak undian itu, malah menyatakan mereka akan terus berjuang. – AFP

