Mesir cadang tempoh bertenang 2 hari di Gaza

KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, mencadangkan tempoh bertenang selama dua hari di Gaza dan pertukaran tebusan yang terhad bagi membuka ruang mengadakan rundingan gencatan senjata berkekalan selepas lebih setahun perang antara Israel-Palestin.

Katanya, cadangan lain termasuklah menukar empat tebusan Israel yang ditahan di Gaza untuk tahanan Palestin di penjara Israel, diikuti dengan lebih banyak rundingan dalam tempoh 10 hari.

Malah, Sisi juga memberi amaran mengenai kebuluran dan menegaskan adalah ‘sangat penting untuk bantuan kemanusiaan masuk secepat mungkin’.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan sama ada rancangan itu sudah dibentangkan secara rasmi kepada Israel atau Hamas.

Campur tangan Sisi berlaku ketika Israel terus menyerang wilayah Palestin dan Hizbullah di Lubnan serta baru sahaja melancarkan serangan udara terhadap musuh utamanya, Iran.

Sabtu lalu, Israel bertindak balas kali kedua terhadap serangan peluru berpandu balistik Iran, hingga mencetuskan gesaan global termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya semua pihak menahan diri dan bertenang bagi mencegah peperangan berleluasa.

Kanak-kanak Palestin bermain dalam rangka sebuah kenderaan yang musnah dibedil Israel, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Kanak-kanak Palestin bermain dalam rangka sebuah kenderaan yang musnah dibedil Israel, di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. – Foto REUTERS

Sehubungan itu, Majlis Keselamatan PBB (UNSC) bermesyuarat hari ini atas permintaan Iran, dengan Tehran menggesa badan itu mengutuk serangan yang mengorbankan empat askar Iran.

Bagaimanapun, Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, berkata Iran tidak mahu berperang tetapi akan melakukan ‘tindak balas yang sesuai’.

Menurut Menteri Luar, Abbas Araghchi, Tehran ‘menerima petunjuk’ beberapa jam sebelum serangan dilancarkan Israel.

Laman berita Amerika Syarikat (AS), Axios, melaporkan lebih awal bahawa Israel sudah memberi amaran bagi ‘mencegah pertempuran merebak lebih luas’.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata operasi itu ‘tepat dan kuat bagi mencapai semua objektifnya’.

Polis berkawal sementara aktivis sayap kiri Israel mengadakan protes terhadap tindakan Israel di Semenanjung Gaza, di Tel Aviv, Israel. - Foto REUTERS
Polis berkawal sementara aktivis sayap kiri Israel mengadakan protes terhadap tindakan Israel di Semenanjung Gaza, di Tel Aviv, Israel. – Foto REUTERS

Mesir bersama Qatar dan AS selama berbulan-bulan menjadi pengantara dalam rundingan gencatan senjata yang tidak menunjukkan sebarang perkembangan positif.

Ketua perisikan Israel, David Barnea, berada di Qatar pada Ahad untuk perbincangan bertujuan memulakan semula rundingan ke arah perjanjian pertukaran tebusan.

Terdahulu, Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, berkata bahawa ‘pengorbanan yang menyakitkan’ diperlukan dalam rundingan ITU dan tindakan ketenteraan semata-mata tidak akan mencapai matlamat perang negara itu.

Daripada 251 tebusan yang diculik oleh pejuang Palestin dalam serangan pada 7 Oktober, 97 masih ditahan di Gaza termasuk 34 yang tentera Israel dakwa telah meninggal dunia.

Di tengah ketegangan itu, sebuah lori merempuh sekumpulan orang berhampiran kompleks perisikan di tengah Israel, mengakibatkan seorang lelaki maut dan lebih 20 orang cedera.

Pengeboman besar-besaran juga berterusan di Gaza, di mana tentera Israel berkata mereka telah membunuh 40 lagi pejuang di wilayah itu. – AGENSI