Tiga beranak cedera, EV sewa dinaiki terbalik

DUA daripada tiga beranak mengalami cedera selepas kenderaan elektrik (EV) tiga roda yang dinaiki terbalik dalam kejadian di Persiaran Karpal Singh di sini. FOTO Ihsan Lim Yong Chien

Georgetown: Tiga beranak cedera selepas kenderaan elektrik (EV) tiga roda yang dinaiki terbalik selepas mengalami kegagalan sistem brek dalam kejadian di Persiaran Karpal Singh di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 7.50 malam itu, mangsa, Lim Yong Chien, 33, mengalami patah jari kelingking pada tangan kanan serta luka di ibu jari kaki.

Isterinya, Loh Jo Yi mengalami kecederaan dalaman dan bengkak di seluruh kaki kanan manakala anak perempuannya berusia tiga tahun mengalami luka di bahagian dahi.

Yong Chien berkata, terdahulu dia dan isteri serta dua anak perempuannya menaiki EV berkenaan yang disewa pada kadar RM40 bagi tempoh 20 minit di kaki lima kawasan itu.

Ketika menunggang, dia cuba memperlahankan kenderaan sebelum mendapati sistem brek tidak berfungsi.

“Sebelum itu, saya cuba brek tetapi EV berkenaan terus bergerak laju sebelum hilang kawalan dan terbalik menyebabkan kesemua kami mengalami kecederaan.

“Hanya anak sulung yang berusia enam tahun tidak cedera namun dia trauma akibat kejadian itu,” katanya di sini, semalam.

Mengulas lanjut Yong Chien berkata, mereka dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi rawatan dengan bantuan saudara.

Katanya, anak bongsu menerima beberapa jahitan di kepalanya manakala isteri pula diberi cuti sakit selama tiga hari.

“Pengendali sewaan EV berkenaan bukan sahaja gagal menghubungi ambulans, malah menyalahkan kami atas kejadian yang menimpa.

“Saya sudah maklumkan brek tidak berfungsi, tetapi mereka marah dan kata kami tidak jaga anak dengan baik.

“Bukan itu sahaja, semakan daripada penduduk setempat turut mendakwa pengusaha terbabit tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah dan pernah diberi amaran oleh pihak berkuasa,” katanya lagi.

Susulan itu, Yong Chien turut membuat laporan polis bagi menuntut siasatan dan tindakan terhadap pengendali terbabit selain penjelasan serta pampasan.

SUMBER : HARIAN METRO