,

Tentera Israel mula pintas bot kemanusiaan GSF

KUALA LUMPUR – Tentera Israel dilaporkan mula memintas kapal-kapal bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa awal pagi tadi ketika mereka menuju ke Gaza untuk memecahkan sekatan ke atas wilayah itu.

Berdasarkan perkongsian beberapa aktivis GSF di media sosial, mereka mendakwa kapal perang regim Zionis menghampiri kapal-kapal mereka selain turut mengganggu komunikasi.

Mereka turut mendakwa dron-dron berlegar di atas flotila itu ketika ia terus belayar merentasi Laut Mediterranean menuju ke Gaza.

Dalam satu hantaran di media sosial, flotila bantuan itu berkata: “Flotila sedang diserang: kapal Bianca (Itali) sedang dihampiri, dan kebanyakan kapal mengalami gangguan komunikasi.”

Sementara itu, laman Faceboook Sumud Nusantara Official turut berkongsi perkembangan serupa selepas mendakwa kemungkinan interception sedang berlaku di luar kawasan Greece.

“Bot-bot tentera penjajah Israel telah mengepung flotila-flotila GSF di perairan antarabangsa dan mengugut untuk menculik para aktivis!” katanya.

Dalam pada itu, memetik laporan media antarabangsa, radio tentera Israel melaporkan bahawa pasukan tentera laut telah mula mengambil alih kapal-kapal flotila yang menuju ke Gaza jauh dari pantai Israel.

Katanya, setakat ini, tentera Israel telah merampas tujuh daripada 58 kapal dalam GSF yang berada berhampiran pulau Crete di Greece.

Sumber tentera Israel juga memberitahu penyiar awam Israel KAN bahawa pihak tentera telah mula mengambil alih flotila tersebut.Menurut penyiar itu, ini merupakan operasi paling jauh yang pernah dijalankan setakat ini oleh tentera laut Israel terhadap flotila yang cuba memecahkan sekatan ke atas Gaza.

Ia berkata, Israel kali ini memutuskan untuk menghentikan flotila itu ratusan kilometer dari pantainya berhampiran Crete.

Flotila itu, yang membawa bantuan kemanusiaan untuk Gaza, bertujuan memecahkan sekatan Israel dan membuka koridor kemanusiaan melalui laut.

Langkah itu dibuat beberapa jam selepas media berbahasa Ibrani melaporkan bahawa Israel sedang bersiap sedia untuk memintas flotila tersebut, yang melibatkan kira-kira 100 kapal dengan hampir 1,000 aktivis dari beberapa negara.

Israel telah mengenakan sekatan ke atas Semenanjung Gaza sejak 2007, menyebabkan kira-kira 1.5 juta rakyat Palestin daripada sekitar 2.4 juta penduduk kehilangan tempat tinggal selepas rumah mereka musnah akibat peperangan. – MalaysiaGazette