Jemaah haji KT051 mendarat di Oman akan berlepas ke Jeddah 6 Mei

MAKKAH – Penerbangan KT051 yang mendarat di lapangan terbang Muscat, Oman pada 4.11 petang waktu tempatan tadi, dijadualkan berlepas ke Jeddah pada 6 Mei 2026, jam 3 pagi waktu Oman dengan menaiki pesawat alternatif.

Lembaga Tabung Haji berkata, penerbangan ini dijadualkan  mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada jam 5.10 pagi (waktu Arab Saudi), hari yang sama.

Semua 278 jemaah haji yang terlibat telah diberikan makanan dan minuman sebelum dibawa ke hotel penginapan untuk berehat sementara menunggu waktu pelepasan.

Tambahnya, petugas AMAL by Malaysia Airlines telah ditugaskan untuk berada di lapangan terbang berkenaan segera bagi memantau keadaan semasa dan memastikan kebajikan jemaah terjaga.

Terdahulu, TH memaklumkan penerbangan yang membawa 278 jemaah haji Malaysia itu telah mendarat di lapangan terbang Muscat, Oman ekoran isu teknikal pesawat.

Tindakan mendarat di Oman adalah sebagai tindakan berjaga-jaga.

Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan tersebut berkata, semua penumpang selamat dan keluarga tidak perlu risau. – MalaysiaGazette