LONDON: Bekas penjaga gol Manchester United dan Manchester City, Peter Schmeichel meluahkan kemarahan terhadap keputusan VAR yang membatalkan jaringan lewat permainan West Ham ketika menentang Arsenal pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
Callum Wilson menyangka dia menyelamatkan satu mata buat West Ham apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan selepas Leandro Trossard meletakkan Arsenal di depan pada minit ke-83.
Namun jaringan itu dibatalkan selepas semakan VAR mendapati Pablo melakukan kekasaran terhadap penjaga gol Arsenal, David Raya dalam situasi bola tinggi di dalam kotak penalti.
Selepas semakan panjang oleh pegawai VAR Darren England, pengadil Chris Kavanagh diminta melihat ulang tayang di monitor tepi padang sebelum memutuskan gol itu tidak sah kerana Pablo didakwa menghalang pergerakan Raya.
Keputusan itu menyaksikan Arsenal terus bertahan untuk menang 1-0 dan kini melebarkan jurang kepada lima mata di puncak liga.
Schmeichel yang menjadi pengulas perlawanan jelas tidak bersetuju dengan keputusan itu.
“Keputusan hari ini amat salah daripada banyak sudut,” katanya kepada Viaplay.
“Apa yang buat saya marah adalah Arsenal tidak akan berada di atas liga jika setiap situasi seperti itu dikira sebagai sepakan percuma.
“Mereka juga menjaringkan banyak gol dengan cara menghalang pemain, menarik dan pelbagai lagi, tetapi hari ini kita sampai ke tahap ini… VAR ambil masa lima minit.
“Pegawai VAR tengok ulang tayang berulang kali. Itu sendiri sudah menimbulkan keraguan. Itu bukan sepakan percuma.”
Beliau turut mendakwa keputusan itu tidak konsisten dengan standard sepanjang musim.
“Saya tidak faham kenapa sekarang ia dianggap pelanggaran, sedangkan sepanjang musim ini perkara seperti itu tidak diberikan kepada mana-mana pasukan.
“Semua ini tidak masuk akal dan keputusan hari ini salah daripada banyak segi,” katanya.
Jika jaringan itu dibenarkan, Arsenal hanya akan mendahului Manchester City dengan tiga mata, namun kini mereka kekal menguasai perebutan kejuaraan EPL. – AGENSI

