Tiga beradik bawa doa mak, ayah ke Tanah Suci

MAKKAH – Harapan sebuah keluarga untuk menunaikan ibadah haji bersama-sama pada musim ini tidak kesampaian apabila ibu dan ayah tersayang gagal dalam saringan kesihatan.

Siti Munirah Mohd Mustafa, 38, bersama adiknya, Ili Rashidah dan Ali Abdul Latif yang reda dengan ketentuan itu tetap meneruskan perjalanan sebagai tetamu Allah selepas ibu mereka disahkan menghidap asma, manakala ayah pula mengalami masalah jantung.

Anak kedua dari empat beradik ini berkata, pada awalnya seluruh ahli keluarga termasuk ibu dan ayah mereka menerima panggilan haji bagi musim 1447H/2026M.

Namun selepas menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan, ibu bapanya dinasihat agar menangguhkan pemergian demi keselamatan dan kesihatan mereka.

“Kami memang sedih sebab dari awal lagi kami dah bayangkan dapat pergi satu keluarga. Dah rancang nak jaga mak ayah di sini. Adik lelaki nak urus ayah, kami adik-beradik perempuan pula jaga mak.

“Tapi bila dapat tahu keadaan kesihatan mereka tidak mengizinkan, kami reda. Mungkin belum rezeki mereka tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Siti Munirah, keputusan lebih berat terpaksa dibuat kakak sulung yang memilih untuk menangguhkan pemergiannya ke Tanah Suci demi menjaga ibu bapa di Malaysia.

Katanya, pengorbanan kakaknya itu dibuat supaya masih ada anak yang boleh menguruskan ibu dan ayah sekiranya berlaku kecemasan atau masalah kesihatan sepanjang mereka berada di Tanah Suci.

“Kalau kami semua pergi, siapa nak jaga mak ayah di kampung nanti? Jadi kakak pilih untuk tunggu dan berkorban demi mereka.

“Kami tahu mak ayah sebenarnya mahu semua anak pergi bersama-sama, tapi kami cuba pujuk mereka dan yakinkan bahawa ini aturan terbaik buat masa sekarang,” ujarnya.

Walaupun hati berat meninggalkan ibu bapa di tanah air, Siti Munirah berkata, mereka bersyukur kerana masih diberi peluang menunaikan ibadah haji pada usia muda.

Lebih menyentuh hati, katanya, perjalanan mereka ke Tanah Suci sebenarnya hasil pengorbanan ibu bapa yang mula menabung dalam akaun Tabung Haji sejak mereka kecil lagi.

Menurutnya, ibu bapanya yang merupakan pesara guru dan penjawat awam, sanggup memotong gaji setiap bulan demi memastikan anak-anak mempunyai simpanan haji.

“Masa kecil dulu, semua duit raya kami akan masuk Tabung Haji. Memang ada rasa nak guna beli macam-macam, tapi mak sangat tegas bab simpanan.

“Sekarang baru kami nampak hasilnya. Kalau bukan sebab usaha mak ayah yang simpan dari kecil, mungkin kami belum sampai lagi ke sini,” katanya.

Siti Munirah berkata, ibu bapanya mula membuat simpanan sejak anak-anak masih kecil sebelum mendaftarkan seluruh keluarga untuk haji pada 2009 sebaik simpanan mencukupi.

Katanya lagi, walaupun keluarga mereka berasal dari kampung di Sik, Kedah dan hidup dalam serba sederhana, ibu bapanya tidak pernah culas mendidik anak-anak tentang kepentingan menabung.

“Kami bukan keluarga senang, tapi mak ayah memang utamakan simpanan Tabung Haji. Mereka selalu pesan duit boleh dicari, tapi peluang jadi tetamu Allah belum tentu datang dua kali,” ujarnya.

Menurut Siti Munira, sepanjang berada di Tanah Suci, mereka tidak putus-putus mendoakan agar ibu bapanya diberikan kesihatan dan dipermudahkan untuk menunaikan haji pada musim akan datang.

“Mak  dan ayah minta doakan mereka dapat pergi ke Tanah Suci. Kami sentiasa doa supaya mak ayah dipanjangkan umur, diberi kesihatan dan dapat sampai juga ke sini satu hari nanti.

“Insya-Allah kalau ada rezeki dan panggilan Allah, kami yakin perjalanan mereka nanti juga akan dipermudahkan seperti kami,” katanya. – MalaysiaGazette