DPMM FC tingkatkan nilai komersil Liga M

JOHOR BAHRU: Kehadiran pasukan jemputan dari Brunei Darussalam, Duli Pengiran Muda Mahkota (DPMM) FC yang sah menyertai Liga Super bagi musim 2025 hingga 2028 akan meningkatkan nilai komersil Liga Malaysia (Liga M).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, kemasukan semula DPMM FC sejak 2008 dilihat memberi nilai tambah kepada saingan liga elit domestik.

Katanya, kelab Brunei itu sebelum ini pernah mewarnai saingan Liga M dan pernah muncul juara Piala Malaysia pada 1999.

“Saingan Liga M akan lebih menarik dengan kehadiran DPMM selepas dua pasukan Perak FC dan Kedah Darul Aman FC tidak bersaing musim depan.

“Bagi MFL, kehadiran DPMM ini sebagai satu nilai tambah kepada Liga M, kita pernah menyaksikan pemain legenda mereka seperti Patron Akakpo dan Brian Iman Bothwell.

“Sudah tentu, kehadiran mereka kali ini akan menambah seri saingan Liga Super sekali gus menjadikan liga lebih kompetitif dan menaikkan nilai komersial kerana melibatkan dua negara,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Majlis Menandatangani Perjanjian Penyertaan Kelab Bolasepak DPMM ke Liga Super 2026-2028.

Kali terakhir DPMM FC bermain di Liga M adalah pada 2008 sebelum menyertai saingan Liga Singapura pada 2009.

Ditanya mengenai status pasukan Imigresen FC, Mohd Shazli berkata, kelab itu akan beraksi dalam saingan Liga Super musim 2025-2026 selepas menamatkan saingan Liga A1 di tempat kedua.