Datuk Seri Aminuddin Harun melambai tangan kepada pengamal media sebaik kenderaannya keluar daripada Istana Hinggap, pagi ini. Foto NSTP
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Hinggap, di sini, pagi ini.
Beliau sebelum itu dilihat memasuki pekarangan istana jam 9.05 pagi sebelum keluar pada 10.47 pagi.
Turut mengiringi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan itu ialah Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad.
Sememangnya menjadi rutin Aminuddin untuk menghadap Tuanku Muhriz pada setiap hari Rabu sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) di Wisma Negeri.
Bagaimanapun, rutin kali ini menarik perhatian pengamal media susulan dakwaan mengenai kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan dalam masa terdekat.
“Biasa hari Rabu menghadap Tuanku,” katanya ringkas ketika keluar daripada Istana Hinggap.
Aminuddin dijangka akan mengadakan sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat EXCO pada jam 1.30 tengah hari.
Semalam, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Sikamat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PH Negeri Sembilan di Kediaman Rasmi Menteri Besar ketika desas desus timbul berkaitan pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Setiausaha DAP Negeri Sembilan, Cha Kee Chin berkata, mesyuarat berkenaan bertujuan membincangkan kesiapsiagaan jentera pilihan raya PH untuk PRN yang bakal menjelang.
Timbalan Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Datuk P Gunasekaren juga memaklumkan mesyuarat berkenaan memberi tumpuan kepada persiapan dan gerak kerja menghadapi pilihan raya negeri.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

