CHICAGO, Amerika Syarikat: Pemain Jerman, Kai Havertz berkata penyerang skuad itu tidak bersaing sesama sendiri untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama, sebaliknya bekerjasama demi kejayaan pasukan menjelang Piala Dunia yang bermula minggu depan di Amerika Syarikat (AS), Mexico dan Kanada.
Bercakap secara dalam talian pada sidang media pertama sejak ketibaan pasukan itu di AS semalam, Havertz berkata ia satu kelebihan besar apabila memiliki ramai pemain berkualiti dalam skuad.
Jurulatih Jerman, Julian Nagelsmann mempunyai pelbagai pilihan di bahagian serangan termasuk penyerang dan pemain tengah menyerang seperti Florian Wirtz, Jamal Musiala, Nick Woltemade, Lennart Karl, selain Leroy Sane dan Havertz sendiri.
“Kami mempunyai banyak pilihan (di bahagian serangan),” kata Havertz yang menjaringkan gol ketika Arsenal tewas menerusi penentuan penalti kepada Paris Saint-Germain (PSG) pada final Liga Juara-Juara minggu lalu.
“Ia satu masalah yang amat baik untuk dimiliki. Lebih baik mempunyai ramai pemain berkualiti berbanding kurang dalam pasukan.”
Jerman, yang akan menentang AS pada aksi pemanas badan terakhir Sabtu ini sebelum kejohanan bermula pada 11 Jun, menurunkan Wirtz, Musiala, Karl yang berusia 18 tahun dan Deniz Undav dalam kesebelasan utama ketika membelasah Finland 4-0 Ahad lalu, manakala Havertz tidak beraksi kerana komitmennya pada final Liga Juara-Juara.
“Terdapat banyak variasi. Kami memerlukan semua pemain dan ramai yang mampu bermain di pelbagai posisi,” kata Havertz ketika ditanya sama ada dia bimbang dengan persaingan daripada Undav yang sedang berada pada prestasi terbaik selepas menjaringkan dua gol dan mencipta satu bantuan jaringan menentang Finland.
“Statistiknya sudah membuktikan segala-galanya. Dalam pasukan kebangsaan dia adalah pemain yang amat penting. Kami sebagai pemain tahu perkara itu.
“Tiada siapa takut kepada sesiapa. Kami perlu berfungsi sebagai satu pasukan dan setiap orang akan diperlukan.”
Jerman hadir ke kejohanan itu dengan misi memulihkan reputasi antarabangsa mereka yang tercalar selepas tersingkir seawal pusingan pertama pada edisi 2018 dan 2022.
Juara dunia empat kali itu juga masih belum mengecapi kejayaan di pentas antarabangsa sejak memenangi gelaran Piala Dunia terakhir mereka di Brazil pada 2014.
Jerman diundi dalam Kumpulan E dan akan memulakan kempen menentang Curacao pada 14 Jun sebelum berdepan Ivory Coast dan Ecuador. – REUTERS

