SEATTLE: Akibat terlalu mempercayai aplikasi Google Maps, seorang wanita terperangkap dalam situasi cemas apabila memandu masuk ke landasan transit aliran ringan.
Kejadian itu menimpa seorang wanita berusia 70 tahun yang memandu Mazda CX-5 di Seattle.
Dia sempat memandu kira-kira 400 meter di atas landasan berkenaan sebelum kenderaannya terhenti di laluan bertingkat berhampiran Stesen Mount Baker.
Insiden yang berlaku pada jam 6.20 petang (waktu tempatan) pada Selasa lalu itu turut mengejutkan penumpang yang berada di platform stesen.
Beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan kenderaan utiliti sukan (SUV) berkenaan terkial-kial bergerak di atas landasan kereta api.PauseNextMute
Kesilapan wanita itu turut memaksa pihak berkuasa menggantung operasi perkhidmatan kereta api ringan selama dua jam bagi membolehkan kenderaan tersebut dialihkan.
Pasukan kecemasan terlebih dahulu memutuskan bekalan elektrik ke landasan sebelum mengeluarkan SUV terbabit.
Agensi pengangkutan awam Seattle, Sound Transit turut berkongsi video yang menunjukkan proses mengalihkan kenderaan itu dari landasan.
Punca sebenar bagaimana wanita berkenaan boleh memasuki laluan kereta api masih disiasat.
Laporan media tempatan menyebut wanita itu mungkin memasuki kawasan landasan yang berada pada aras sama dengan jalan raya di persimpangan Martin Luther King Jr Way dan Walden Street terletak kira-kira 800 meter di selatan stesen berkenaan.
Selepas video kejadian itu tular, ramai pengguna media sosial berseloroh bahawa walaupun GPS mampu menunjukkan arah, ia tidak mampu menggantikan akal dan pertimbangan pemandu.

