KUALA LUMPUR: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan berkuat kuasa Jumaat lalu, berkemungkinan tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan daripada pemerintah bersama, iaitu Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Selain itu, isu penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar oleh Undang Luak turut berbangkit, selepas baginda memperkenankan pembubaran DUN berkenaan.
Pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, berkata pembubaran DUN dan pelantikan Menteri Besar adalah di bawah bidang kuasa Raja Pemerintah Negeri Sembilan, iaitu Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar Memerintah, merujuk kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.
Kesan perlembagaan amat serius
Justeru katanya, isu penurunan takhta Tuanku Muhriz dan pemasyhuran Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu mempunyai kesan undang-undang perlembagaan yang amat serius.PlayNextMute
“Pembubaran DUN adalah atas nama Raja Pemerintah (Ruler), bukan atas nama Yang di-Pertuan Besar yang bertindak secara unilateral.
“Bagi mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memastikan perkenan Raja Pemerintah Negeri Sembilan diperoleh mengikut Perkara 28 UUTKNS bagi maksud pembubaran DUN sebelum melaksanakan tugas perlembagaan mereka,” katanya kepada BH.

Pada lewat malam Khamis lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN negeri itu berkuat kuasa Jumaat bagi memberi laluan kepada PRN Ke-16.
Aminuddin berkata, pembubaran itu dibuat selepas beliau mendapat perkenan Tuanku Muhriz pada majlis menghadap yang berlangsung di Istana Besar Seri Menanti pada Rabu.
Kira pembubaran DUN berkuat kuasa 10 Jun
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fauzi yang juga Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh al-Watan, berkata jalan terbaik untuk menentukan tarikh rasmi pembubaran DUN adalah pada 10 Jun ini, iaitu tarikh selepas enam bulan daripada persidangan DUN terakhir pada 11 Disember 2025.
“Jika mahu “selamat”, perlu dikira dari 10 Jun, untuk mengelakkan isu keabsahan pembubaran DUN,” katanya.
Khamis lalu, BH melaporkan, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan dikhuatiri terjerumus ke dalam satu krisis Perlembagaan menjelang 10 Jun ini, jika persidangan DUN tidak diadakan sebelum tarikh berkenaan.
Berdasarkan Perkara LVI(1) Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan, tidak boleh dibiarkan tempoh enam bulan berlalu antara persidangan DUN terakhir dalam satu penggal dengan tarikh yang ditetapkan bagi persidangan pertama dalam penggal yang berikutnya.
Kali terakhir sidang DUN Negeri Sembilan diadakan adalah pada 11 Disember 2025. Pada 23 April lalu, selepas Istiadat Perasmian Sidang DUN Ke-15 disempurnakan Tuanku Muhriz, persidangan yang dijadualkan berlangsung itu ditangguhkan hingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.


