ALOR SETAR: Seorang penjawat awam lelaki ditahan kerana disyaki menyebabkan kakak iparnya cedera dalam pergaduhan di sebuah kediaman di Taman Budiman, di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali, berkata mangsa dilaporkan cedera pada bahagian kepala dan dahi kiri, selain lutut kanan lebam, dalam kejadian kira-kira jam 7 malam yang berlaku ketika wanita itu berada di rumah bersama ahli keluarga.
Katanya, terdahulu suspek berusia 33 tahun itu didakwa memandu kereta dengan laju sebelum berhenti mengejut di hadapan rumah pengadu (mangsa).
Beliau berkata, pengadu dan ahli keluarga kemudian keluar dari rumah sebelum melihat suspek berada di dalam kereta bersama isteri yang juga adik mangsa, serta anak berusia dua tahun.
“Pengadu memegang penyapu dan meminta suspek keluar dari kereta.
“Dikatakan berlaku pertengkaran mulut antara pengadu dengan suspek sebelum dileraikan oleh ibu bapa pengadu.
“Suspek kemudian didakwa menolak kakak iparnya itu sehingga terjatuh lalu terkena dinding rumah dan cedera,” katanya.
Syed Basri berkata, punca insiden dipercayai suspek berang kerana mendakwa mangsa mencampuri urusan rumah tangganya.
“Mangsa berusia 36 tahun adalah anak sulung daripada lima beradik dan belum berkahwin, selain tinggal di rumah terbabit bersama ibu bapa, adiknya yang juga isteri suspek serta anak suspek,” katanya.
Susulan itu, mangsa tampil membuat laporan polis, dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 serta Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

