Sembilan cedera insiden tembakan berhampiran kem latihan England

KANSAS CITY: Sembilan individu cedera dalam satu insiden tembakan berhampiran kem latihan pasukan England bagi Piala Dunia 2026 di Kansas City, Missouri, semalam.

Polis Kansas City memaklumkan semua mangsa mengalami kecederaan yang tidak mengancam nyawa, manakala sekurang-kurangnya tiga daripada mereka dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.

Menurut pihak berkuasa, setakat ini tiada suspek ditahan berhubung kejadian berkenaan yang berlaku kira-kira 6.4 kilometer (km) dari Swope Soccer Village, lokasi yang akan menjadi pusat latihan skuad England sepanjang kempen Piala Dunia.

Bagaimanapun, pasukan England masih belum tiba di Kansas City dan dijadual mengharungi aksi persahabatan terakhir menentang Costa Rica di Orlando, Florida pada Rabu ini sebelum memulakan cabaran di Piala Dunia.

Jurucakap Persatuan Bola Sepak England (FA) enggan mengulas mengenai insiden terbabit.

Kejadian itu berlaku hanya beberapa hari sebelum sepak mula Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Keganasan melibatkan senjata api terus menjadi isu utama di Amerika Syarikat dengan organisasi pemantau, Gun Violence Archive, merekodkan lebih 400 insiden tembakan beramai-ramai di negara itu sepanjang tahun lalu.