JOHOR BAHRU: Polis menahan reman ibu kepada dua kanak-kanak yang terjun atau terjatuh dari tingkat 12 pangsapuri di Tampoi dengan seorang daripada mereka meninggal dunia di lokasi kejadian, di sini, pagi semalam.
Wanita itu ditahan reman selama empat hari sehingga 11 Jun ini bagi membantu siasatan kes terbabit
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad, berkata polis daripada bahagian siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menahan ibu mangsa yang juga warga asing berusia 37 tahun.
Media hari ini melaporkan kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak perempuan terjatuh dari tingkat 12 pangsapuri ke tingkat tujuh (berhampiran kolam renang) bangunan 24 tingkat yang menyebabkan seorang daripadanya maut, manakala seorang lagi masih menerima rawatan di hospital.
Ab Rahaman berkata, sehingga kini, beberapa saksi yang berada di tempat kejadian dan melihat kedua-dua mangsa terjun atau terjatuh dari tingkat 12 bangunan pangsapuri itu turut dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, punca sebenar dan motif kejadian masih dalam siasatan dan polis percaya tangkapan ke atas ibu mangsa akan merungkai punca sebenar dua kanak-kanak itu mengambil tindakan tidak wajar untuk terjun atau terjatuh dari bangunan pangsapuri itu.
“Siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang termasuk mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pendedahan dan pembuangan kanak-kanak yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
“Pada masa yang sama, polis juga mengalu-alukan orang ramai tampil menyalurkan maklumat kejadian itu balai polis berhampiran dan talian hotline polis Johor di nombor 019-2792095 atau talian bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Johor di nombor 07-2212999,” katanya.
SUMBER : BULETIN TV3
Baik, baik ada makna tu..

