Dua lelaki pukul warga asing direman

KUALA TERENGGANU: Dua lelaki direman oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bagi membantu siasatan kes memukul warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang, hari ini.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 23 tahun itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, berkata polis menerima laporan berhubung kejadian seorang lelaki warga asing dipukul oleh sekumpulan lelaki tempatan.

Beliau berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.25 malam di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang.

Katanya, kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara mangsa dan beberapa individu tempatan hingga mengakibatkan kecederaan kepada mangsa serta kerosakan harta benda.

“Tindakan pantas orang awam yang melihat kejadian itu bersama pihak polis yang hadir ke lokasi kemudian berjaya mengawal keadaan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata atau alat berbahaya.

“Kes berkenaan juga turut disiasat mengikut Seksyen 427 KK kerana melakukan khianat,” katanya.

“Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhd Khairunnas Amir di talian 014-7258463 atau talian am 09-6182222,” katanya.