AI tingkat ancaman scam, bank perhebat pertahanan digital

Syed Ahmad Taufik Albar dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa pada sidang media sempena Acara Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026 di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Industri perbankan mempergiat usaha membanteras penipuan kewangan susulan peningkatan penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh sindiket scam untuk memperdaya mangsa.

Pengerusi Pasukan Petugas Kebangsaan Membanteras Penipuan, Syed Ahmad Taufik Albar, berkata trend itu mendorong institusi perbankan untuk terus melabur dalam teknologi dan sistem keselamatan yang lebih canggih bagi mengesan serta menghalang aktiviti penipuan.

“Terdapat peningkatan penggunaan keupayaan AI untuk melakukan scam, namun pada masa sama, bank-bank juga melabur untuk meningkatkan keupayaan mereka dengan memanfaatkan AI bagi memerangi penipuan,” katanya pada Majlis Penghargaan Wira Bank #JanganKenaScam 2026, hari ini.

Beliau berkata, pelaburan berterusan dalam teknologi keselamatan menjadi semakin penting memandangkan taktik penjenayah siber sentiasa berubah seiring perkembangan teknologi.

Pada masa sama, industri perbankan melihat MyDigital ID sebagai antara inisiatif yang berpotensi memperkukuh proses pengesahan identiti pelanggan serta mengurangkan risiko penipuan pada masa hadapan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata penggunaan MyDigital ID secara menyeluruh mampu menjadi satu lagi lapisan perlindungan dalam usaha membanteras scam.

“Kita sangat yakin ciri-ciri keselamatan yang ada pada MyDigital ID sukar untuk dimanipulasi dan mampu membantu mencegah penipuan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis sudah mengadakan beberapa sesi libat urus berkaitan MyDigital ID dan percaya platform itu boleh dimanfaatkan secara lebih meluas dalam urusan perbankan apabila pelaksanaannya siap sepenuhnya.

Pada 2025, institusi perbankan secara kolektif berjaya menyekat transaksi penipuan dan transaksi mencurigakan bernilai RM1.19 bilion, meningkat tiga kali ganda berbanding tahun sebelumnya.

Dalam tempoh sama, seramai 68 kakitangan daripada 14 bank diiktiraf menerusi Acara Penghargaan Wira Bank selepas membantu menghalang kerugian pelanggan melebihi RM139 juta melalui pengesanan awal transaksi mencurigakan serta campur tangan dalam kes-kes yang berpotensi melibatkan scam.

SUMBER : BULETIN TV3